"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Istana Perak tolak video kaitkan Sultan Nazrin sebagai penyokong PAS

Malaysiakini

Istana Perak membuat laporan polis Sabtu lalu berhubung tindakan seorang wanita yang memuat naik satu klip video yang memberi gambaran seolah-olah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, adalah penyokong PAS.

Dalam satu kenyataan hari ini, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Mohd Zahidi Zainuddin berkata perbuatan itu bukan sahaja tidak beretika, malah secara tidak langsung mencemarkan nama baik baginda selaku sultan yang memerintah negeri Perak.

Katanya, cara klip video itu diolah telah mengaitkan dan mengheret secara langsung atau tidak langsung kedudukan seorang raja pemerintah untuk tujuan politik kepartian.

“Ditegaskan bahawa DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak sama sekali memihak, dan jauh sekali daripada memberikan sokongan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan politik,” katanya.

Katanya video yang ditularkan itu merupakan petikan sebahagian kecil titah Sultan Nazrin (ketika itu Pemangku Raja Perak) di Majlis Wacana Perpaduan Ummah bertemakan ‘Perpaduan Ummah; Harapan, Realiti dan Cabaran’ anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 19 Feb 2013.

Mohd Zahidi berkata tindakan yang dilakukan itu dipercayai bertujuan mempengaruhi pengundi agar menyokong PAS dalam suasana menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri yang akan berlangsung pada 12 Ogos 2023.

Beliau berkata titah baginda itu sarat menghuraikan sejarah antara PAS dan Umno selain peringatan kepada kedua-dua parti untuk mencari jalan menjalinkan persefahaman dan kerjasama meskipun memilih pendekatan politik yang berbeza.

“Titah baginda mengandungi 7,500 patah perkataan dan mengambil masa 90 minit semasa dizahirkan. Bahagian yang memuji PAS hanyalah petikan pendek, begitu juga pujian terhadap Umno.

“Baginda memberikan ulasan seimbang antara dua buah parti politik Melayu itu dan turut menzahirkan peringatan agar keghairahan mendapatkan sokongan politik dan kuasa jangan sampai memecahbelahkan bangsa dan memusnahkan negara.

“Oleh itu tidak timbul bahawa Baginda hanya memandang tinggi kepada PAS,” katanya.

Tiada ulasan: