"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lagi pemimpin PN tolak debat, Rafizi lontar pantun ‘sembang kencang’

Malaysiakini

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mendedahkan dia telah mendapat jawapan balas anggota parlimen Bachok Mohd Syahir Sulaiman berkaitan cabaran debatnya.

Dia justeru membuat kesimpulan bahawa tiada pihak dalam Perikatan Nasional (PN) berani ke depan.

“Dari mantan menteri ekonomi PN ke panglima PN ke ekonomis teknokrat paling cerdik PN - semua tidak berani bentang agenda ekonomi mereka,” katanya.

Dia juga sempat melontar pantun dua kerat.

“Nak ke bulan konon nak menang
Perancangan rakyat tak keruan sembang kencang”

Syahir semalam berkata dia menunggu surat undangan daripada Rafizi untuk berdebat dalam hal ehwal ekonomi.

Rafizi mengalihkan cabaran itu kepada selepas Menteri Besar Kedah Sanusi Md Noor menolaknya dan Pengerusi PN Selangor Mohamed Azmin Ali juga dikatakan berpendirian sama.

Dua hari lepas, Azmin meletakkan syarat bahawa Rafizi perlu membuktikan terlebih dahulu telah berjaya dalam pelaksanaan dan pemulihan ekonomi negara.

Sementara itu, dalam surat balasan yang didedahkan itu, Syahir berkata dia sependapat dengan Sanusi bahawa lebih baik tenaga dan masa difokuskan untuk berkhidmat dan menyelesaikan masalah rakyat.

Syahir bagaimanapun berkata dia sentiasa bersedia untuk berwacana dengan mana-mana pihak seperti dalam pilihan raya umum ke-14 secara terbuka, matang dan harmoni.

Diminta mengesahkan sama ada jawapan itu bermaksud dia menolak debat dengan Raizi, Syahir mengiyakannya dan sekali lagi menegaskan dia menurut jejak 'senior' Sanusi.

“Saya dah jawab jemputan beliau, dan saya dah jawab pantun beliau,” jelasnya ketika dihubungi Malaysiakini.

Rafizi pada mulanya mahu berdebat dengan Sanusi atas alasan memulakan budaya persaingan idea untuk membantu rakyat, berbanding tumpuan kepada retorik siapa lebih Melayu.

Rafizi memberikan kebebasan kepada Sanusi untuk memilih topik asalkan ia melibatkan isu ekonomi, seperti pembinaan lapangan terbang dan kebajikan golongan miskin.

Bersedia pada bila-bila masa sepanjang tempoh kempen pilihan raya di enam negeri, Rafizi percaya ia cara terbaik untuk menutup mulut Sanusi daripada memperlekehkan lawan.

Tiada ulasan: