Azmin makin diterima, Langkah Sheraton dilupai, kata penduduk Hulu Kelang
Faisal Asyraf
KUALA LUMPUR: Bagi sebahagian penduduk Hulu Kelang, memori berhubung peranan Azmin Ali dalam Langkah Sheraton makin pudar dan kepercayaan terhadap bekas menteri besar Selangor itu semakin meningkat susulan kerja kerasnya di kawasan itu.
Beberapa penduduk memberitahu FMT, mereka tidak akan lupa peranan Azmin dalam langkah politik itu yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumbang, tetapi mereka turut mendapati beliau bekerja keras untuk memenangi hati mereka selepas tewas di Parlimen Gombak pada PRU15.
Azmin julung kali mewakili Hulu Kelang pada 1999, sebelum menjadi Adun Bukit Antarabangsa. Hulu Kelang terletak di bawah Parlimen Gombak.
Halim Said, 51, berkata Azmin bekerja keras dan kerap menemui penduduk, khasnya golongan miskin di kawasan itu.
“Beliau bekerja seolah-olah dia masih wakil rakyat di sini.
“Bahkan selepas PRU, beliau masih bertemu penduduk untuk mengenal pasti sebarang isu dan menghulur sumbangan kepada surau, masjid dan sekolah. Saya tidak terkejut jika beliau menang kali ini.”
Katanya, keputusan Pakatan Harapan (PH) meletakkan Juwairiya Zulkifli yang kurang dikenali penduduk hanya memberi kelebihan kepada bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu.
Halim berkata, Anfaal Saari yang juga anak perempuan bekas Adun Hulu Kelang, Saari Sungib boleh menjadi pesaing lebih baik buat Azmin kerana lebih dikenali penduduk.
Hulu Kelang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Azmin yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional dan Juwairiya, bekas Adun Bukit Melawati.
Rokiah Shamsudin, 61, pula mendapati Azmin pantas bertindak terhadap aduan berkaitan isu setempat, menyebabkan popularitinya semakin meningkat dalam kalangan penduduk selepas dilabel “pengkhianat”.
Beliau percaya Azmin akan mendapat sokongan pengundi kecewa selepas PH bekerjasama dengan bekas seterunya, Barisan Nasional (BN).
Hamidah Majid yang berusia 40-an berkata, Langkah Sheraton dan PRU15 kini menjadi sejarah dan penduduk mahu wakil rakyat mudah didekati serta aktif turun padang.
“Bagaimana kami nak undi individu kelihatan seperti orang asing di sini?” soalnya merujuk Juwairiya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan