"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tengku Hassanal: Tiada siapa kebal dari tindakan undang-undang

NS Ramli

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah memberi amaran semua pihak yang didapati melanggar undang-undang, terutamanya membabitkan kesalahan alam sekitar di negeri ini akan berdepan tindakan tegas.

Titah baginda, ini termasuklah kerabat diraja Pahang sendiri dan ahli politik.

"Dalam usaha memastikan alam sekitar, flora dan fauna di Pahang sentiasa terjaga, saya memohon agensi penguatkuasaan bertindak tegas.

"Jalankan penguatkuasaan dengan bersungguh-sungguh, saya ada bersama tuan-tuan dan puan-puan semua, jangan risau.

"Jangan ambil rasuah dan jaga integriti, jika ada yang 'jual nama', sembahkan (maklumkan) kepada saya.

"Tiada yang kebal daripada undang-undang, yang salah tetap salah, tidak kira kerabat, orang politik mahu pun rakyat jelata," titahnya.

Tengku Hassanal bertitah demikian ketika berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Bersempena Memuliakan Hari Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, hari ini.

Projek pembangunan perlu perkenan

Baginda turut memberi peringatan kepada kerabat diraja Pahang bahawa semua projek yang ingin dijalankan dengan kerjasama kerabat diraja negeri lain di negeri ini perlu mendapat perkenan daripadanya terlebih dahulu.

Titahnya lagi, projek pembangunan kerajaan Persekutuan yang ingin dilaksanakan di negeri ini juga perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan Pahang.

"Begitu juga kepada semua ahli politik, projek pembangunan perlu disembah maklum dan mohon perkenan daripada saya selepas berbincang dengan Menteri Besar Pahang," jelas baginda.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal mahu semua laporan impak alam sekitar (EIA) yang dilakukan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum sebarang projek dijalankan di Pahang, hendaklah dikemukakan kepadanya.

Tengku Hassanal bertitah hasil laporan EIA berkenaan akan dipersembahkan untuk perhatian ayahandanya Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Sebagai pewaris takhta negeri Pahang, saya tidak berhasrat untuk campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan, namun saya mahu menjadi 'stake holder' yang penting, menjadi 'check and balance' kepada pembangunan yang akan dilaksanakan.

"Saya mahu prosedur ini terus dilaksanakan walaupun ketika saya menjadi Tengku Mahkota Pahang semula, agar semua pembangunan dirancang akan memberikan manfaat terbaik kepada rakyat dan alam sekitar kekal lestari," titah baginda lagi.

Tiada ulasan: