"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mohd Amar dakwa difitnah dalam kenyataan adik Nik Aziz

N Faizal Ghazali

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah mendakwa dirinya menjadi mangsa fitnah adik kepada bekas menteri besar Kelantan berhubung ketiadaan nama Nik Mohammad Abduh Nik Aziz sebagai calon pilihan raya negeri (PRN) Kelantan bagi DUN Chempaka.

Mengulas kenyataan Nik Din Nik Mat, jelasnya, nama bekas anggota Parlimen Bachok itu sedari awal lagi tidak tersenarai sebagai calon kerusi berkenaan.

“Itu fitnah bila mengatakan saya yang menghalang sedangkan dia (Nik Din) tidak terbabit dalam mesyuarat pimpinan parti selain tiada jawatan dalam parti.

“Saya tidak tahu dari mana sumbernya yang mendapat maklumat sedemikian termasuk menyentuh surat daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang,” katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas majlis memperkenalkan calon-calon DUN dalam Parlimen Pengkalan Chepa di Kota Bharu, malam tadi.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Nik Din yang merupakan adik kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan Mohd Amar adalah punca menyebabkan Nik Abduh tidak dicalonkan pada PRN kali ini.

Nik Din turut mendedahkan, nama anak saudaranya itu pada awalnya disenaraikan sebagai calon namun dihalang Mohd Amar dan menyatakan Abdul Hadi sudah menghantar surat meminta PAS Kelantan menyenaraikan nama Nik Abduh.

Dakwanya, tindakan itu dibuat kerana Mohd Amar yang juga calon DUN Panchor tidak mahu keluarga Nik Abdul Aziz bertapak di kawasan Pengkalan Chepa.

Dakwaan itu dibuat menerusi satu rakaman video berdurasi dua minit 33 saat yang tular di whatsApp sejak petang semalam.

Sementara itu , Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar sementara Kelantan berkata, isu berkenaan (pencalonan) sudah selesai selepas Nik Abduh sendiri dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sudah memberi penjelasan.

“Tuan Ibrahim sebelum ini sudah jawab Nik Mohamad Abduh tidak mahu bertanding dan Nik Abduh sendiri juga mengatakan tidak berhasrat dan tiada masalah tidak bertanding kerana mahu menguruskan sekolah agama peninggalan ayahnya.

“Jadi, kenapa orang lain yang perlu membuat tuduhan dan sibuk? Bagi saya perkara itu tidak betul,” katanya.

Rentetan isu tersebut Mohd Amar bagaimanapun yakin ia tidak menjejaskan sokongan pengundi di DUN Chempaka dan Panchor.

“Saya tidak berhasrat untuk mengambil sebarang tindakan kerana merasakan dia tidak mendapat maklumat yang betul. Fokus kita adalah menang dalam PRN.

“Bagi saya isu seperti ini biasalah terutama ketika PRN dan kita perlu hadaplah. Namun saya yakin pengundi pun bijaksana kerana kita sokong PAS, bukan sokong individu,” jelasnya.

Tiada ulasan: