Hamzah Osman
bhnews@bh.com.my
Gambar kiri, Bekas Bendahari Pemuda PAS Langkawi, Safwan Hanif Shafie (memakai tengkolok), Bekas Timbalan Yang Dipertua PAS Langkawi, Mazlan Ahmad. - Foto NSTP/Hamzah Osman
LANGKAWI: Bekas Timbalan Yang Dipertua PAS Langkawi, Mazlan Ahmad dan bekas Bendahari Pemuda PAS Langkawi, Safwan Hanif Shafie menegaskan mereka tidak peduli dipecat daripada PAS berikutan tindakan bertanding sebagai calon Bebas.
Malah, pemecatan itu tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan kempen masing-masing bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dan Ayer Hangat pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Mazlan berkata, beliau sudah membaca laporan mengenai pemecatan diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi laporan media semalam dan mengambil sikap berlapang dada.
"Saya terima dan berlapang dada serta sudah bersedia (dipecat) dari awal sejak menyerahkan borang pencalonan pada Sabtu lalu, bahkan semua ahli faham mengenai perkara itu.
"Sebagai ahli parti yang sudah lama bergiat aktif memang saya faham perlembagaan parti dan (pemecatan) adalah perkara biasa bagi ahli yang menongkah arus," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, Safwan Hanif berkata, tidak timbul soal dipecat sebagai ahli PAS kerana beliau telah meletak jawatan sebagai Bendahari Pemuda PAS Langkawi sebelum mengemukakan borang pencalonan, Sabtu lalu.
"Kenyataan Setiausaha Agung PAS (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) kepada media itu tidak tepat kerana saya telah meletak jawatan (Bendahari Pemuda PAS Langkawi) sebelum serah borang pencalonan bertanding calon Bebas.
"Calon ditampilkan parti politik tidak ikut spesifikasi dikehendaki penduduk kerana orang luar, lalu selaku anak tempatan saya tawarkan diri," katanya ketika ditemui selepas melakukan jelajah mesra di Jeti Kilim di sini, hari ini.
Usahawan pelancongan itu berkata, sejumlah pengundi yang ditemuinya sepanjang tiga hari berkempen rata-rata menolak calon luar dan tidak mahu tertipu buat kali kedua dengan memilih mereka sebagai wakil rakyat.
"Kalau bagi orang luar menang, mereka cuma jadi 'wakil pelancong' dan hanya datang sekali sekala ke pulau ini sebagai tempat singgah bukan wakil rakyat, akhirnya paling rugi adalah penduduk tempatan," katanya.
Semalam media melaporkan PAS menggugurkan keahlian Mazlan dan Safwan Hanif selepas masing-masing bertanding sebagai calon Bebas di DUN Kuah dan Ayer Hangat, sekali gus mengingkari keputusan parti.
Menerusi laporan itu, Takiyuddin dipetik sebagai berkata, tindakan itu diambil selepas Pejabat Setiausaha Agung PAS menerima laporan Setiausaha PAS kawasan Langkawi mengatakan lapan individu termasuk Mazlan dan Safwan Hanif telah melanggar ketetapan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan