"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jawi siasat pengikut ajaran Ahmadi

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

LAPAN ditahan sertai Perhimpunan LGBT di Kompleks Sogo Kuala Lumpur, baru-baru ini. FOTO Genes Gulitah
Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sudah melakukan siasatan terhadap kes perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo Kuala Lumpur oleh kumpulan yang membawa sepanduk berkaitan LGBT dan ajaran Ahmadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'Im Mokhtar berkata kes disiasat mengikut Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Menurutnya, apa-apa usaha untuk mempromosi serta menormalisasikan gaya hidup songsang yang bercanggah dengan ajaran Islam dan fitrah insan seperti LGBT adalah tidak boleh diterima sama sekali.

"Usaha-usaha untuk menyekat penyebaran fahaman songsang terbabit perlulah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan bersepadu.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mengambil tindakan menyiasat kes itu.

"Selaku pihak berkuasa agama Islam di Wilayah Persekutuan, Jawi tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta undang-undang yang sedang berkuatkuasa," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menasihatkan seluruh umat Islam supaya terus berpegang teguh kepada ajaran Islam serta menjauhkan diri dari terlibat dengan apa jua ajaran dan fahaman yang bercanggah dengan akidah, syariat dan akhlak Islam.

Tiada ulasan: