"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRN: Faktor 4.9 juta pengundi muda

Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kemenangan mana-mana calon dan parti politik yang akan bersama membentuk serta mentadbir kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti dijangka banyak disumbangkan faktor pengundi muda.

Ini kerana pengundi muda merangkumi lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan lebih 9.7 juta pengundi berdaftar yang akan memilih calon atau parti bertanding di PRN Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.

Statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dijangka 4.9 juta pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun akan mengundi pada PRN di enam negeri itu.

Seramai 661,905 adalah pengundi muda berusia antara 18 hingga 20 tahun, yang kali pertama akan mengundi pada PRN berkenaan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata pengundi muda adalah segmen pengundi yang penting dan kritikal dalam menentukan kemenangan calon dan parti bertanding.

"Kemenangan gabungan utama parti politik di negara ini yang membabitkan blok Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) serta Perikatan Nasional (PN) dalam PRN juga bergantung kepada pengundi muda.

"Pengundi muda lebih terpengaruh dengan kempen melalui media sosial dan trend dalam politik. Namun tanpa literasi politik yang tepat, mereka mudah terpengaruh dengan kempen yang bersifat populis," katanya.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Dr Azmi Hassan pula berkata, ada kebimbangan pengundi muda tidak berminat untuk mengundi pada PRN ini.

Katanya, ini kerana terdapat pendapat bagi golongan itu yang memikirkan peranan mereka hanya untuk membentuk kerajaan negeri dan diketahui pihak yang akan menang di negeri tertentu.

"PRN dikatakan takkan ada perubahan. Jadi kemungkinan tak ramai pengundi muda yang akan berkorban untuk keluar mengundi kerana pengorbanan masa dan wang ringgit itu diperlukan.

"Justeru terdapat keperluan daripada semua pihak untuk memperhebatkan kempen bagi menggalakkan golongan muda ini terbabit dalam membuang undi kelak.

"Diharapkan mereka keluar beramai-ramai kerana golongan muda ini biasanya memegang prinsip ideal dan tidak terikat dengan parti-parti politik, bukan seperti pengundi yang lebih veteran dari segi umurnya.

"Apabila tidak terkait dengan agenda parti politik, mereka akan memilih parti politik atau pun calon yang boleh memberi manfaat paling maksimum bukan sahaja kepada mereka tetapi di kawasan tempat mereka mengundi dan juga negeri tempat mereka mengundi," katanya.

Tiada ulasan: