"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sanusi gagal rundingan di Langkawi, pimpinan Pas bertanding calon Bebas

M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bh.com.my

Alor Setar: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa gagal dalam melakukan rundingan agihan kerusi gabungan itu sehingga menyebabkan berlakunya ahli Pas bertanding sebagai calon Bebas.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar, berkata PN sebelum ini mendakwa gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) mengalami masalah dalam agihan kerusi, namun rundingan itu berjaya diselesaikan mereka dalam suasana persahabatan.

Sebaliknya apa yang berlaku katanya, PN yang mengalami masalah apabila Timbalan Yang Dipertua Pas Langkawi, Mazlan Ahmad bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuah dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie bertanding di Dun Ayer Hangat sebagai calon Bebas.

"Dia (Muhammad Sanusi) gagal di negeri sendiri menguruskan soal agihan rundingan kerusi sehingga tiada kerusi ditandingi PAS di Langkawi, mereka (ahli PAS) sangat kecewa. Saya tahu kerana Mazlan anak buah saya dahulu ketika kami sama-sama dalam Pas.

"Mereka menceritakan bagaimana Bersatu yang langsung tidak mempedulikan dan mengambil tahu mengenai Pas di Langkawi selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Wakil rakyat langsung tidak bertanya khabar, mereka sangat kecewa sebab itu mereka harap paling tidak Dun Kuah ditandingi calon Pas, sebaliknya tak berlaku.

"Saya juga terkejut apabila anak Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Mohamad Abduh yang membawa perwatakan bekas Mursyidul Am yang dalam ketegasan ada kelembutannya tidak dicalonkan di Kelantan.

"Adalah malang pimpinan Pas tidak menghiraukan legasi Nik Aziz, malah seperti mahu memadamkannya ketika ini," katanya pada sidang media di Pusat Operasi Pilihan Raya Dun Alor Mengkudu yang turut dihadiri Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata beliau percaya tindakan dua pimpinan Pas di Langkawi bertanding sebagai calon Bebas turut mendapat lampu hijau kepimpinan Pas Pusat bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka kepada Bersatu.

Katanya, disebabkan apa yang berlaku kepada PN ketika ini, beliau yakin PH/BN kini dalam landasan terbaik mengekalkan 16 kerusi Dun milik penyandangnya selain hanya memerlukan tambahan tiga lagi kerusi bagi mendapatkan majoriti mudah membentuk kerajaan negeri.

"Kegagalan pimpinan Pas mengawal ahli juga juga berlaku apabila mereka memboikot pencalonan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai di Dun Bayan Lepas.

"Ini berlaku kerana Pas masih mengharapkan sokongan pengundi Cina sehingga sanggup menyerahkan kerusi itu kepada rakan sekutu.

"Ini menunjukkan tohmahan mengatakan PH ditunggang DAP sebenarnya tidak berlaku, sebaliknya Gerakan juga menguasai PN dan menjadi 'kingmaker' apabila meletak syarat tertentu sehingga Pas terpaksa korbankan kerusi kepada parti kecil yang kalah semua kerusi.

"Atas keyakinan pergolakan yang berlaku kepada PN, saya yakin 16 kerusi milik PH/BN di Kedah akan kekal dan kita memerlukan lonjakan sekurang-kurangnya tiga lagi kerusi untuk mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan negeri baharu selepas 12 Ogos ini," katanya.

Tiada ulasan: