"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Halau rakan: Takiyuddin minta maaf, Tuan Ibrahim pula nada dia lain

PAS minta maaf insiden Lau ‘dihalau’ dari ceramah PN
Sebagai presiden rakan gabungan PAS dalam PN dan calon PRN, Dominic Lau patut diberi penghormatan sewajarnya, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

FMT Reporters

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata keputusan meletakkan presiden Gerakan Dominic Lau di Bayan Lepas dilakukan atas persetujuan pucuk pimpinan parti.
PETALING JAYA: PAS meminta maaf atas insiden Presiden Gerakan Dominic Lau yang didakwa dihalang menghadiri ceramah parti tu di Sungai Dua, Pulau Pinang, Selasa lalu.

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, berkata sebagai presiden rakan gabungan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) dan calon PRN, kehadiran Lau perlu “dihargai sebagai tetamu”.

“PAS merakamkan rasa kurang selesa sekali gus meminta maaf atas insiden melibatkan Lau yang dilihat tidak dialu-alukan ke majlis Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, yang turut dihadiri oleh presiden PAS baru-baru ini.

“Bagi pihak kepimpinan PAS Pusat, saya percaya kehadiran beliau perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip-prinsip Islam,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong menggesa PAS menjelaskan punca presidennya Lau dihalang menghadiri ceramah parti tu di Sungai Dua.

Video oleh Malaysiakini menunjukkan Lau dihalang seorang pemimpin PAS Pulau Pinang daripada mengikuti naib presiden parti itu Idris Ahmad ke atas pentas. Apabila ada yang memprotes, kedengaran pemimpin PAS berkata kepada Lau “Tak boleh (Tidak boleh). You go away.”

Selain itu, Takiyuddin berkata PAS sedar politik gabungan cenderung menimbulkan rasa tidak puas hati, terutamanya dalam isu pembahagian kerusi dan pemilihan calon.

Bagaimanapun, beliau menggesa agar ahli dan penyokong PAS meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan parti diketuai Presiden Hadi Awang, dan menerima keputusan kepimpinan dengan hati terbuka.

“Saya menyeru ahli-ahli PAS berkaitan supaya menyedari bahawa bantahan berterusan dan tindak-tanduk yang berlawanan dengan kepentingan parti bukan sahaja berkemungkinan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan PN, malah turut mencabar dan mempersoalkan kebijaksanaan serta ketepatan keputusan presiden PAS sendiri,” katanya.

Sebelum ini, pencalonan Lau di DUN Bayan Lepas dikatakan mengecewakan akar umbi PAS di kerusi majoriti Melayu itu.

------

Takda apa nak dijelaskan, PAS beritahu Gerakan berhubung insiden ‘dihalau’
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Oh Tong Keong perlu mendapatkan butiran mengenai apa yang berlaku daripada presiden parti Dominic Lau.

Dineskumar Ragu

KEPALA BATAS: Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menolak gesaan Gerakan agar parti itu memberikan penjelasan atas tindakan seorang pemimpin tempatannya menghalang Dominic Lau daripada menghadiri ceramah Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini.

Tuan Ibrahim berkata, tiada apa yang perlu dijelaskan oleh PAS kerana Lau telah menafikan dihalau daripada majlis itu selepas hadir tanpa diundang.

Beliau juga berkata, Lau sendiri mengaku berada di sana untuk bertemu Presiden PAS Hadi Awang.

Tuan Ibrahim berkata, Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong perlu mendapatkan butiran mengenai apa yang telah berlaku secara langsung daripada Lau.

“Beliau (Lau) telah mengeluarkan kenyataan. Oleh itu, kita tidak perlu beri penjelasan.

“Dan dia (Oh) harus mendengar (cakap) presidennya,” kata Tuan Ibrahim kepada FMT selepas ceramah di sini malam tadi.

Semalam, apabila menuntut penjelasan PAS, Oh menuduh parti itu tidak menghormati Lau yang juga timbalan pengerusi Perikatan Nasional dan ketua PN Pulau Pinang.

Katanya, Lau sepatutnya dilayan sebagai tetamu oleh PAS.

Komen Oh dibuat susulan video oleh Malaysiakini yang menunjukkan Lau dihalang oleh pemimpin PAS Pulau Pinang daripada mengikuti naib presiden parti itu, Idris Ahmad, naik ke pentas pada ceramah itu.

Apabila ada yang memprotes, kedengaran pemimpin PAS berkata kepada Lau: “Tak boleh (ikut). Pergi dari sini.”

Pada Rabu, Lau menafikan beliau diminta meninggalkan ceramah di Sungai Dua itu.

Katanya, beliau pergi ke sana untuk berjumpa dengan Hadi memandangkan presiden PAS itu meminta bertemu pada 9 malam. Bagaimanapun, Hadi hanya tiba pada 10.30 malam dan Lau terpaksa bertolak ke mesyuarat lain.

Tiada ulasan: