"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Chef Wan:'Saya disahkan hidap kanser limfoma'

Astro Awani

KUALA LUMPUR: Chef selebriti Datuk Redzuan Ismail, 65, atau Chef Wan memaklumkan bahawa doktor mengesahkan beliau menghidap kanser limfoma.

Menerusi perkongsian di akaun Instagramnya, Chef Wan berkata, beliau didiagnosis menghidap kanser itu selepas menjalani ujian electrocardiogram (ECG) di sebuah hospital pada petang Khamis.

Chef Wan memaklumkan dirinya kini dalam keadaan stabil dan doktor memberitahu kanser dihidapinya masih di peringkat awal berdasarkan saiznya.

"Saya baru sahaja menjalani ujian ECG. Pada jam 3 petang doktor memaklumkan mengenai keputusan biopsi saya.

"Mereka perlu menjalankan ujian sebanyak dua kali untuk memastikan keputusan itu. Saya sememangnya menghidap kanser limfoma.

"Saya perlu menjalani imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET) untuk melihat sama ada kanser ini sudah merebak ke organ lain termasuk menentukan ia di tahap berapa," katanya.

Chef Wan memaklumkan beliau mempunyai peluang kira-kira 70 hingga 80 peratus untuk sembuh dengan menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 13 kitaran dalam jangka tempoh 13 minggu.

"Isnin ini, saya akan melakukan ujian sumsum tulang kerana kanser limfoma juga dikaitkan dengan organ itu.

"Saya juga akan menjalani kemoterapi dan memulakan rawatan serta-merta sebanyak 13 kitaran iaitu bermaksud selama 13 minggu.

"Saya akan mula mengalami keguguran rambut selepas ini. Jadi, saya sudah bersedia untuk menggayakan rambut palsu seperti Elvis, M Daud Kilau, Samy Velu, Liberace dan ramai lagi," tulisnya.

Biarpun dalam situasi menggusarkan, Chef Wan dilihat kekal positif dan menerima ketentuan itu dengan hati terbuka.

"Inilah kehidupan… anda hanya perlu melaluinya dengan positif. Anak perempuan dan menantu saya sedih mendengar berita ini. Tetapi saya kata jangan menangis, saya belum pergi lagi.

"Saya perlu kuat dan sihat kerana saya juga perlu menjaga ramai orang. Insya-Allah, Allah akan jaga saya.

"Terima kasih atas semua doa dan ucapan. Tolong jangan risau kerana kita semua akan melalui ini bersama-sama supaya kita boleh memberi inspirasi dan membantu orang lain di masa hadapan," tulisnya.

Tiada ulasan: