"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail calon PN bagi PRK Sungai Bakap

Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my

Nibong Tebal: Perikatan Nasional (PN) menamakan Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal Abidin Ismail untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap, 6 Julai ini.

Ia diumumkan Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Majlis Pengisytiharan Calon PRK N20 Sungai Bakap di pekarangan tapak parkir sebuah pasar raya di Bandar Tasek Mutiara, di sini, malam ini.

Eksekutif logistik berusia 56 tahun itu juga adalah pegawai khas kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Bakap Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Tuan Ibrahim berkata, pemilihan Abidin adalah paling tepat memandangkan beliau mengenali semua kerja Allahyarham dan percaya mampu menggalas tanggungjawab sama seperti Nor Zamri sekiranya diangkat menjadi wakil rakyat kelak.

"Abidin juga adalah anak tempatan yang dilahirkan di Kampung Sungai Duri dan mendapatkan pendidikan awal serta menjadi pengundi Dun Sungai Bakap serta Parlimen Nibong Tebal.

"Beliau terkenal dan sangat dikenali dalam kawasan Dun Sungai Bakap, tambahan pula beliau ada pembantu kepada Adun sebelum ini (Allahyarham Nor Zamri) yang pastinya beliau mengetahui semua kerja-kerja di sini," katanya pada majlis pengumuman itu.

Hadir sama dalam majlis pengumuman calon itu Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad, Naib Presiden Bersatu Pusat Datuk Dr Radzi Jidin, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta beberapa pimpinan tertinggi parti komponen PN.

Rabu lalu, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin sebagai calon untuk bertanding PRK Dun Sungai Bakap.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Dun Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom dilaporkan berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Tiada ulasan: