"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri' ajaran sesat Millah Abraham ditahan Mohamed Farid Noh

Mohamed Farid Noh
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang lagi individu disyaki pengikut Millah Abraham bertaraf 'menteri' dalam hierarki ajaran sesat itu, ditahan dalam operasi bersepadu di Batu Pahat, malam Rabu lalu.

Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khaled berkata, lelaki berusia lingkungan 45 hingga 50-an itu ditahan di kediamannya kira-kira 7.15 malam.

Katanya, ia susulan operasi bersepadu khas Ops Milab yang dijalankan Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor Bahru.

"Hasil operasi bersepadu itu, seorang lelaki disyaki pengikut kepada ajaran sesat Milah Abraham ini ditahan di Batu Pahat.

"Lelaki itu mendakwa dirinya berstatus 'menteri' dalam kelompok ajaran sesat itu.

"Pendakwaan kes ke atas lelaki itu dijalankan semalam di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Batu Pahat dengan tarikh perbicaraannya ditetapkan pada 24 September nanti," katanya dalam kenyataan, di sini.

Pada 6 Ogos lalu, seorang imam dan guru penolong kanan dilaporkan antara 14 individu disyaki pengikut ajaran sesat Millah Abraham yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini, atas pertuduhan mengingkari pihak berkuasa agama serta memiliki bahan penerbitan agama bertentangan hukum syarak.

Mereka terdiri daripada 11 lelaki serta tiga wanita berusia 30 hingga 70 tahun yang didakwa secara berasingan atas satu atau dua pertuduhan mengikut Seksyen 9 dan Seksyen 13 (1) (b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003.

Berdasarkan fakta kes, mereka ditahan dalam operasi khas di beberapa daerah negeri ini, termasuk Segamat, Muar, Batu Pahat dan Pontian, 1 Ogos lalu.

Dalam serbuan itu, seramai 17 individu ditahan kerana disyaki pengikut ajaran Millah Abraham sebelum dibawa ke jabatan agama untuk disoal siasat.

Sebelum itu, JAINJ mengesan penyebaran ajaran Millah Abraham susulan laporan polis diterima berhubung pergerakan anggota kumpulan terbabit.

Hasil siasatan awal mendapati mereka dipercayai turut cuba menyebarkan ajaran itu kepada ahli keluarga dan masyarakat di negeri ini.

Ajaran ini difatwakan haram pada 2019 oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

Antara fahaman salah ajaran sesat itu ialah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli adalah tidak sah, selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan mempunyai syahadah berbeza.

Mereka juga cuba menggabungkan tiga agama membabitkan Yahudi, Nasrani dan Islam, selain menghuraikan ajaran al-Quran berdasarkan fahaman sendiri tanpa berdasarkan kitab tafsir.

Tiada ulasan: