"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemain bola sepak acu kerambit juga suspek baling molotov di pusat hiburan Mei lalu

Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Polis mengesahkan pemain bola sepak amatur yang ditahan kerana mengacukan objek tajam juga adalah suspek yang membaling bom petrol di sebuah pusat hiburan di ibu negara pada Mei lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, lelaki berusia 22 tahun itu akan dituduh atas kedua-dua kesalahan itu di Mahkamah Kuala Lumpur esok.

“Dia ini ada ‘wanted’ (dalam senarai dikehendaki) satu kes, kes baling molotov cocktail di depan pusat hiburan, inilah orangnya.

“(Suspek) ini pun akan dituduh di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, suspek orang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Putrajaya dan Pengerusi PERKEP Putrajaya, di sini hari ini.

Menurut Rusdi, polis mengenal pasti suspek terlibat dalam kedua-dua kes berdasarkan siasatan, rakaman percakapan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan proses pengecaman.

“Suspek ada dua rekod jenayah lampau,” katanya.

Sebelum ini, tular video CCTV di laman media sosial yang memaparkan empat individu menaiki dua motosikal membaling bom petrol di hadapan pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, 9 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, bagi kes mengacukan objek tajam, suspek akan didakwa di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 serta pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan membahayakan nyawa dan keselamatan diri orang lain.

Dalam kejadian 4 Ogos lalu, lelaki tersebut mengacukan kerambit ke arah pemain lain dalam perselisihan faham ketika perlawanan bola sepak di KLFA Football Centre.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, ACP Mohammad Lazim dilapor berkata, lelaki tersebut ditahan bersama teman wanitanya berusia 21 tahun oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sebuah rumah di Klang kira-kira jam 6.30 petang, Jumaat lalu.

Tiada ulasan: