"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa yang nak naik lagi?

Wai Tee

Apakah rakyat Malaysia masih trauma dengan langkah berani kerajaan perpaduan meneruskan polisi rasionalisasi subsidi? Ketimbang majoriti rakyat tidak menggunakan diesel melainkan rakyat Sabah dan Sarawak, tetapi kesan terhadap harga barang makanan, pakaian dan bahan binaan tetap terasa.

Semua mengerti kenapa kerajaan terpaksa naikkan harga runcit diesel dari RM2.15 seliter kepada RM3.35 seliter mulai 10 Jun lalu. Kalau naik sedikit demi sedikit, peringkat demi peringkat mengikut formula mekanisma penentuan harga automatik (APM), aktiviti penyeludupan pasti akan terus berleluasa.

Aktiviti penyeludupan akan lenyap apabila perbezaan antara harga diesel negara dengan di Thailand dan Indonesia tidak menguntungkan penyeludup.

Walaupun kerajaan beri kad fleet dan pengecualian kepada sektor-sektor tertentu, tetapi kenaikan harga barang tetap juga berlaku. Bukan kerana diesel tetapi kesan global disebabkan kekurangan penawaran dan harga barang import yang naik dan memberi kesan kepada kos pengeluaran.

Kerajaan harus cepat belajar dari impak langkah tersebut. Apakah polisi itu dilaksanakan terlalu drastik? Atau komunikasi strategik kurang dan tidak berkesan? Apakah rakyat belum bersedia? Tapi nak tunggu rakyat bersedia, ibarat menunggu kucing bertanduk.

Itulah hakikat! Salut kepada kerajaan lantaran berani korbankan langkah populis untuk menyelamatkan negara tidak seperti pemimpin dan kerajaan terdahulu . Tanda-tanda positif dah mula kelihatan. Tapi kesannya tidak terus kepada rakyat.

Biarpun indikator begitu memberangsangkan dari sudut peratus kadar inflasi, indeks harga barang dan tukaran asing tetapi semua itu tidak dirasai oleh rakyat. Atau tidak semua rakyat dapat menerima malah mahu memahami semua itu?

Bagi rakyat tembolok lebih utama. Selagi apa yang dibayar tiap hari, apa yang masuk ke mulut tidak turun harganya selagi itu mereka tidak percaya. Persetan dengan patriotisme!

Persoalannya sekarang, apa lagi yang akan naik ek? Apa lagi subsidi yang nak disasarkan? Kerisauan ini yang bermain-main dibenak rakyat. Tambah meruncing bila diapi-apikan oleh pembangkang yang meratib harga naik harga mahal tiap hari.

Tidak semua yang naik itu negatif. Seperti yang dijanjikan, apa yang ‘diambil’, akan ‘dikembalikan’ kepada rakyat atas keperluan dan kelayakan.

Kerajaan akan memperkenalkan Dasar Gaji Progresif untuk memastikan pemberian upah/gaji yang adil kepada semua pekerja. Ini bagi memastikan kenaikan kos sara hidup ditampung serta selari dengan kenaikan gaji para pekerja di Malaysia.

Itulah formula kerajaan ketika diasak oleh pembangkang di parlimen satu ketika dahulu.

Penjawat awam tentunya sedang berkira apakah bentuk kenaikan yang akan diumumkan oleh kerajaan pada minggu kedua Ogos. Di masa yang sama, peniaga juga sedang berkira.

Kenaikan gaji penjawat awam selalunya sinonim dengan kenaikan harga barang keperluan. Tunggulah!

Apa pun kerajaan telah mengotakan janjinya. Walaupun mungkin terlalu kecil kepada golongan tertentu, tetapi itu satu permulaan yang baik. rakyat pastinya menghargai keprihatinan kerajaan.

Rakyat sedang menunggu apakah ura-ura kerajaan untuk menyasarkan subsidi RON95 akan diteruskan dalam tahun ini juga? Jika itu terjadi, maka sia-sialah usaha Kerajaan memperkenalkan Dasar Gaji Progresif, ibarat mencurah air ke daun keladi. Feel-Good factor yang telah dibina, punah dan hancur! Peluang pembangkang menggasak kerajaan lagi!

Dasar Gaji Progresif akan dimomokkan sebagai Bulok Kasap, hujung hilang, pangkal lesap. Semua tahu RON95 digunakan oleh majoriti rakyat. Yang kaya berkenderaan besar dan yang miskin menggunakan motor, semua menggunakan RON95.

Jika penyasaran subsidi diesel telah menyebabkan kerajaan perpaduan kalah di Sungai Bakap dengan majoriti yang berganda, tidak mustahil penyasaran subsidi RON95 boleh menyebabkan rakyat menolak terus kerajaan perpaduan. Boleh berkubur di PRU16 atau lebih awal dari itu.

Itu yang berlaku kepada Kerajaan New Zealand bila mereka memperkenalkan dasar fiskal ROGERNOMICS sempena nama Menteri Kewangannya, Roger Douglas.

Walaupun polisi yang progresif tetapi dilaksanakan secara drastik serentak menyebabkan rakyat New Zealand tersentak dan menolak kerajaan tersebut dalam pilihanraya berikutnya.

Langkah-langkah itu antara lain menurunkan nilai NZ Dolar sebanyak 20%, pengkorporatan perniagaan milik kerajaan, pemansuhan subsidi industri (terutamanya subsidi pertanian), pengurangan perlindungan tarif, dan potongan cukai serta pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 10%.

Tujuan Rogernomics walaupun murni demi memulihkan ekonomi negara, memperbaiki pengurusan kewangan dan mengurangkan bebanan hutang, tetapi rakyat belum boleh terima ketika itu.

Jika rakyat New Zealand yang celik ekonomi menolak dasar progresif tersebut inikan pula rakyat Malaysia?

Kerajaan harus fikir panjang sebelum melaksanakan apa jua dasar rasionalisasi subsidi seterusnya. Waima apa jua perkara yang membebankan rakyat ketika ekonomi dunia dan negara tidak menentu.

Dengarnya kadar tol beberapa lebuhraya pun nak dinaikkan. Betul ke? Kalaulah ini betul, satu lagi malapetaka yang akan meningkatkan kemarahan rakyat.

Rakyat perlu masa bertenang dari Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS). Kerajaan mesti buktikan bagaimana penjimatan SKDS itu disalurkan untuk kesejahteraan rakyat.

Jika ini tidak dibuat secepat mungkin, janganlah bermimpi rakyat dapat terima polisi penjimatan dan penyasaran yang baharu.

Rakyat akan bertanya kenapa kerajaan perpaduan harus memikul kebaculan kerajaan terdahulu yang tidak menaikkan kadar tol secara berperingkat sejak 2016? Kalau kerajaan terdahulu boleh menanggung kenaikan kadar tol dengan membayar pampasan kepada konsesi tol, kenapa tidak kerajaan perpaduan sekarang? Kenapa tidak gunakan penjimatan dari SKDS?

Kenapa tidak kerajaan menggunakan strategi yang sama menstruktur semula kadar dan perjanjian konsesi tol biarpun terpaksa memanjangkan tempoh konsesi asalkan kadar tol tidak dinaikkan.

Rakyat tak kisah guna duit apa untuk bayar pampasan. Rakyat tak kisah hutang negara menggunung. Yang rakyat nak, harga barang murah, makanan yang masuk dalam tembolok mereka juga murah. Walaupun rakyat sanggup bayar mahal untuk kopi jenama antarabangsa!

Mendidik rakyat bukan mudah. Susah nak fahamkan perbezaan antara harga murah dan harga berpatutan/munasabah. Terutama rakyat yang dah terbiasa dengan subsidi. Mentaliti rakyat Malaysia memanglah mentaliti subsidi.

Selagi harga barang dijadikan isu, selagi itu rakyat tidak akan terdidik.

Kerajaan akan terus berhadapan tantangan untuk melaksanakan polisi yang progresif demi negara dan generasi akan datang.

Sampai bila? Tepuk dada tanya selera!

Tiada ulasan: