"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suspek tikam ibu saudara dengan gunting hingga mati direman 7 hari

Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my
LOKASI wanita warga emas maut ditikam di kepala selepas cuba meleraikan pergaduhan dua beranak. FOTO Nur Izzati Mohamad
LOKASI wanita warga emas maut ditikam di kepala selepas cuba meleraikan pergaduhan dua beranak. FOTO Nur Izzati Mohamad
Kepala Batas: Suspek lelaki yang menikam ibu saudaranya dengan gunting sehingga mati di sebuah rumah di Pekan Darat, di sini, semalam direman tujuh hari sehingga 21 Ogos ini bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Utara Superintendan C Tharmalingam, berkata suspek yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) ekoran kecederaan dialaminya di kepala ditahan reman sejak dia ditangkap semalam.

Katanya, berdasarkan siasatan awal kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan ibunya ketika dia baru pulang ke rumah.

"Ketika itu keadaan suspek dalam keadaan tidak terurus yang secara tiba-tiba berlaku pertengkaran antara suspek dan ibunya.

"Mangsa yang juga ibu saudara suspek kemudian cuba meleraikan pergaduhan itu namun dia yang berang terus bertindak menikam mangsa yang berusia 80 tahun sehingga mati.

"Suspek juga turut menolak ibunya sehingga terjatuh dan cedera sebelum dia keluar dari rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, ibu suspek yang berusia sekitar 70-an dirawat di Hospital Kepala Batas (HKB) dan sudah dibenarkan pulang.

"Suspek pula kini menerima rawatan di HPP kerana cedera di kepala dipercayai terjatuh ketika pulang ke rumahnya sebelum insiden antara dia dan ibu saudaranya berlaku.

"Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati dia negatif dadah dan polis sedang menunggu laporan lengkap dari doktor sama ada suspek mengalami masalah mental atau sebaliknya," katanya.

Media semalam melaporkan seorang wanita warga emas maut ditikam di kepala dengan gunting selepas dipercayai cuba meleraikan pergaduhan antara dua beranak.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan sebelum dilaporkan meninggal dunia.

Sejurus kejadian itu juga suspek dikatakan mengamuk apabila memecahkan cermin rumah saudaranya sebelum orang ramai menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Tiada ulasan: