"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saya tak sampai hati tengok mayat isteri yang dipotong-potong...

Sariha Mohd Ali
sariha@bh.com.my
MOHD Yusof bersama arwah Istiqomah pada Aidilfitri lalu. FOTO Ihsan Mohd Yusof
MOHD Yusof bersama arwah Istiqomah pada Aidilfitri lalu. FOTO Ihsan Mohd Yusof
Kuala Lumpur: "Jika polis menyerahkan mayat arwah isteri saya, Istiqomah Ahmad Rozi untuk urusan pengebumian, saya tak nak tengok sebab tak sampai hati lihat keadaannya yang sudah dipotong-potong begitu...," kata suaminya, Mohd Yusof Mokhtar.

Beliau yang bertugas sebagai juruteknik di Pasir Gudang, berkata sebagai suami, dia sudah reda dengan pemergian isterinya itu yang disahkan dibunuh dengan tragis oleh kenalannya selepas dilaporkan hilang selama lapan bulan.

"Saya tak sanggup lihat keadaan mayat isteri yang dipotong beberapa bahagian, jadi biarlah urusan jenazah nanti dibuat ahli keluarga lain sehingga dikafankan.

"Syurga isteri di bawah telapak kaki saya dan sebagai suami, saya reda dan ikhlaskan kematiannya. Arwah Istiqomah seorang isteri yang sangat baik dan taat kepada suami, dia kini sudah berada di syurga Allah walaupun kematiannya diseksa sebegitu rupa," katanya kepada BH, hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah sebelum ini berkata, keputusan ujian padanan asid deoksiribonukleik DNA ke atas kepala dan jari Allahyarham Istiqomah, 33, yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3 dijangka diketahui selewat-lewatnya minggu depan sebelum jenazah dibenarkan untuk dituntut ahli keluarga mangsa.

Pada 6 Januari lalu, media melaporkan penemuan mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki, dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, Melaka pada kira-kira 2 petang.

Siasatan awal disyaki mangsa dibunuh dengan anggota badan iaitu kepala, tangan dan kaki dipotong dan disumbat ke dalam tong sampah sebelum dibuang ke dalam longkang.

Namun, identiti mangsa ketika itu gagal dikenal pasti dan pihak patologi hanya mengesahkan mayat adalah wanita dianggarkan berumur antara 20 hingga 30-an.

Mohd Yusof, 35, berkata beliau juga akan menyimpan sebahagian barangan peribadi arwah isterinya termasuk pakaian sebagai kenangan, manakala selebihnya akan disedekahkan kepada pihak memerlukan.

Katanya, dia bersyukur kerana usaha, doa dan solat hajat yang dibuat bersama keluarga selama lapan bulan supaya Allah mempertemukan mereka dengan Istiqomah walaupun mungkin sudah tidak bernyawa akhirnya terjawab.

"Sebelum isteri hilang pada 26 Disember tahun lalu, dia ada memaklumkan kepada saya yang dia mahu berjumpa kawannya, malah sebelum keluar rumah, dia beritahu anak kami yang dia nak pergi ke sekolah.

"Sejak itu dia tidak kembali sehinggalah mayatnya yang sudah dipotong beberapa bahagian ditemui di Melaka pada 31 Disember 2023 iaitu selepas enam hari dia hilang.

"Memang sukar menerima hakikat isteri dibunuh sebegitu kejam, tetapi akhirnya pencarian dan pengharapan saya dan keluarga selama lapan bulan berakhir.

"Walaupun jenazahnya tidak sempurna, sekurang-kurangnya ada kubur arwah isteri nanti di kampungnya di Pasir Mas, Kelantan, " katanya.

Mengulas usaha pencarian selama lapan bulan yang dibuatnya bersama keluarga, Mohd Yusof berkata, mereka turut menggunakan khidmat perubatan alternatif bagi membantu mengesan kehilangan isterinya itu.

"Kami tidak ada petunjuk langsung berhubung kehilangan Istiqomah, tetapi majoriti perawat mengatakan isteri akan pulang.

"Akhirnya memang dia 'pulang' tetapi sudah tidak bernyawa selepas dibunuh kejam dan mayatnya dikerat beberapa bahagian," katanya.

Mohd Yusof yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, dia dan tiga anaknya akan terus tinggal di Pasir Gudang, Johor selepas ini walaupun tanpa isteri di sisi.

"Anak-anak sudah menerima hakikat kehilangan ibu mereka dan saya juga bekerja di sini.

"Selepas ini, saya dan keluarga hanya menunggu keadilan untuk isteri ditegakkan dan mahu hukuman setimpal dikenakan kepada individu yang membunuh arwah," katanya.

Tiada ulasan: