"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Presiden Amanah: Amanah sedia bertanding dalam mana-mana PRK

Malaysiakini 

Amanah pada umumnya sedia memberi laluan kepada parti dalam kerajaan perpaduan yang menjadi penyandang untuk dicalonkan dalam mana-mana pilihan raya kecil (PRK).

Bagamanapun pada masa sama parti itu menegaskan pendirian tersebut bukanlah muktamad.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata parti itu memang sedia bertanding dalam sebarang PRK jika dirasakan perlu.

Pun begitu Mohamad berkata penyertaan Amanah dalam sesuatu PRK akan dibuat selepas proses perundingan dijalankan dengan parti dalam kerajaan perpaduan.

"Secara dasarnya, Amanah mengambil pendirian untuk memberikan laluan kepada parti penyandang di kerusi-kerusi yang dipertandingkan dalam mana-mana PRK.

"Pendirian ini berdasarkan kepada amalan gabungan perpaduan dalam enam PRK yang dihadapi sepanjang tempoh penggal parlimen ke-15 ini.

"Walaupun begitu pendirian ini bukanlah muktamad.

“Amanah bersedia untuk bertanding dalam mana-mana PRK jika dipersetujui bersama oleh parti-parti komponen kerajaan perpaduan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia muncul ketika Amanah dan Umno dilihat masih bertelagah mengenai calon yang akan dipertaruhkan dalam PRK Mahkota - yang terletak dalam kawasan parlimen Kluang, Johor - bulan depan.

Awal hari ini Amanah Kluang berkata, mereka bukannya menuntut untuk mendapatkan kerusi Mahkota dan mengabaikan semangat kerajaan perpaduan.

Ketua Amanah Kluang Mohd Zuhan Mohd Zain malah mengingatkan kerajaan perpaduan belum terwujud di Johor.

Belum bincang agih kerusi

Justeru dia menggesa agar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, memastikan proses rundingan antara parti kerajaan dijalankan sebelum sebarang keputusan muktamad diambil.

Untuk rekod kerusi DUN Mahkota dimenangi Amanah-PH dalam PRU ke-14 lalu sebelum kembali dikuasai Umno-BN kira-kira lima tahun kemudian.

Kerusi itu kosong berikutan penyandangnya. Sharifah Azizah Syed Zain, meninggal dunia pada awal bulan ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Sept ini sebagai hari penamaan calon bagi PRK DUN Mahkota. Jika terdapat pertandingan PRK akan diadakan pada 28 Sept.

Mohamad berkata, isu pembahagian kerusi untuk PRU akan datang juga belum dibincang dan diputuskan pimpinan tertinggi kerajaan perpaduan.

"Justeru, Amanah akan terus komited kepada usaha untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan parti-parti komponen perpaduan untuk mencapai kemenangan dalam PRU ke-16," katanya.

Tiada ulasan: