"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suhakam: Lewat tangani kes OKU 'dipukul' hakis keyakinan awam

Malaysiakini 

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa pihak polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengambil langkah segera dan telus bagi memastikan keadilan ditegakkan dalam kes seorang anggota pengiring polis didakwa menyerang seorang pemandu e-hailing yang pekak.

Suhakam berkata AGC perlu mempercepatkan pendakwaan jenayah dalam kes serangan yang sepatutnya mudah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Kelewatan dalam menangani kejadian serius ini melemahkan keyakinan awam terhadap institusi yang bertanggungjawab untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan memberikan keadilan [...]

"Suhakam menekankan kepentingan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam mengendalikan kes ini bagi memastikan mangsa diberikan ganti rugi dan keadilan yang sewajarnya secara pantas. Keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang dinafikan.

"Selain itu, orang awam berhak untuk dimaklumkan tentang perkembangan kes ini dan Suhakam menggesa AGC untuk memberikan kemas kini secara berkala mengenai tindakan yang diambil," kata suruhanjaya itu satu kenyataan hari ini.

Dengan menangani kes ini dengan cepat dan telus, Suhakam berkata pihak polis dan AGC dapat meredakan kebimbangan awam bahawa salah guna kuasa tidak akan diambil mudah dan maruah semua individu - termasuk mereka yang mempunyai keperluan khas - akan dihormati.

Kenyataan ini dikeluarkan selepas pemandu OKU, Ong Ing Keong mendedahkan rakaman dashcam mengenai serangan yang didakwa berlaku itu.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilaporkan berkata anggota yang didakwa memukul OKU itu telah dikenakan tindakan disiplin dalaman serta siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Serangan tersebut didakwa berlaku di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 28 Mei, ketika Ong sedang menjemput penumpangnya.

Pada masa sama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tiba dan pengiring trafiknya mengarahkan Ong untuk memberi laluan.

Rakaman dashcam menunjukkan seorang lelaki berpakaian sut menumbuk Ong sewaktu penumpangnya memasuki kereta dipandunua.

Kurang info perkembangan kes

Suhakam berkata kenyataan Razarudin bahawa pelaku yang didakwa telah dikenakan tindakan disiplin dialu-alukan tetapi kekurangan butiran lanjut membimbangkan.

Suruhanjaya itu berkata sebagai contoh, tiada maklumat sama ada sebarang tindakan hukuman seperti pemecatan, penggantungan atau denda telah diambil sebagai sebahagian daripada tindakan itu, atau sama ada prosiding disiplin sedang berjalan atau telah selesai.

Insiden ini kata Suhakam menekankan keperluan mendesak untuk anggota penguatkuasa undang-undang menjalani latihan bagi memastikan orang kurang upaya dilindungi dengan berkesan daripada keganasan dan penyalahgunaan kuasa serta mempunyai akses terhadap keadilan tanpa halangan.

Ini diwajibkan di bawah Artikel 13(2) Konvensyen PBB mengenai Hak Orang Kurang Upaya, yang mana Malaysia telah memeterainya.

Selain itu, Suhakam menekankan Artikel 20 Prinsip Asas mengenai Penggunaan Kekerasan dan Senjata Api oleh Pegawai Penguatkuasa Undang-Undang - yang diterima pakai oleh PBB pada tahun 1990 - menekankan perhatian khusus kepada isu etika polis dan hak asasi manusia dalam latihan pihak berkuasa.

Tiada ulasan: