"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seorang maut, seorang parah ditetak 5 lelaki bersenjatakan parang

BuletinTV3 
Barangan kes yang ditemui di lokasi kejadian membabitkan mangsa tetak di Bedong, semalam. – Foto ihsan polis
SUNGAI PETANI: Seorang pekerja cuci kereta maut, manakala seorang pengawal keselamatan parah dengan kesan kecederaan dipercayai ditetak di kepala dan badan di lokasi berasingan di kawasan Bedong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten. Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata anggotanya dari pondok polis Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) menerima panggilan daripada pegawai perubatan Jabatan Kecemasan di Zon Merah pada jam 2.20 pagi memaklumkan menerima kes dua lelaki yang mempunyai kesan kecederaan akibat ditetak.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kejadian bermula di sebuah tapak kosong di simpang ke Kampung Toh Pawang, apabila mangsa pertama iaitu pengawal keselamatan yang ketika itu sedang bekerja dan ditemani seorang rakan dipercayai diserang lima lelaki bersenjatakan parang.

“Akibat daripada itu, mangsa mengalami kecederaan parah di dada, tangan kiri dan kanan manakala rakan mangsa sempat melarikan diri dari tempat kejadian.

“Kesemua suspek kemudiannya pergi ke belakang sebuah premis cuci kereta di Taman Bedong yang terletak kira-kira 2.7 kilometer (km) dari lokasi kejadian pertama.

“Kesemua suspek menyerang mangsa yang juga pekerja kedai cuci kereta yang berada di situ menyebabkan mangsa mengalami cedera parah di pelbagai anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 20-an itu dibawa ke HSAH oleh rakan mereka dan seorang mangsa yang juga pekerja cuci kereta disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian turut dibantu oleh pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Unit Anjing Pengesan (K-9) masih menyiasat motif kejadian bagi kedua-dua kes berkenaan.

Menurutnya siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera parah yang disiasat secara berasingan.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati bagi kesalahan bunuh dan jika disabitkan kesalahan menyebabkan cedera parah boleh di hukum penjara hingga 20 tahun dan juga dikenakan denda atau sebatan.

“Setakat ini polis sudah menahan tiga lelaki berusia 20-an hingga 30-an di sekitar daerah ini untuk membantu siasatan berhubung kes itu,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi IPD Kuala Muda di talian 04-4299222 atau Pegawai Penyiasat kes ASP Azmirul bin Abdul Aziz di talian 019-444 6521.

Tiada ulasan: