Nurul Hidayah Bahaudin dan Ain Balqis Ahmad Parmy
am@hmetro.com.my
GAMBAR percikan bunga api yang diambil oleh suri rumah, Hazleen Emiellya, 26, ketika bunyi letupan di kawasan Villa Perdana, Seri Kembangan, Sabtu lalu. FOTO ihsan Hazleen Emiellya
Serdang: "Saya terdengar bunyi yang amat kuat sebelum ternampak percikan seperti bunga api," kata Hazleen Emiellya, 26, penduduk di Villa Perdana, di sini.
Suri rumah itu berkata, ketika kejadian, dia berada di luar rumah untuk mengambil gambar adiknya.
"Semasa terdengar letupan itu, saya sempat ambil gambar percikan di udara yang seakan bunga api.
"Namun, saya sendiri tak pasti sama ada letupan itu berpunca daripada bunga api kerana saya tidak pernah pula mendengar bunyi bunga api sekuat itu," katanya.
Menurutnya, kejadian itu yang pertama kali berlaku di kawasan berkenaan turut menyebabkan jirannya keluar rumah akibat terkejut dengan bunyi terbabit.
Kelmarin, media melaporkan beberapa individu menerusi media sosial mendakwa terdengar bunyi letupan sangat kuat di kawasan Seri Kembangan sekitar jam 8 malam, kelmarin.
Bunyi letupan 'misteri' itu didakwa turut didengari penduduk di sekitar kawasan Sierra16, Puchong Batu 14, Puncak Jalil dan Seri Serdang.
Seorang penduduk di Taman Lestari Putra 7 (LEP7), di sini, Syaza Muaz Shaharudin, 34, berkata, bunyi letupan didengarinya seperti bunyi bunga api yang sangat kuat.
"Ketika kejadian kira-kira jam 8 malam itu, saya berada di dalam bilik sebelum terdengar letupan seperti bunga api yang amat kuat.
"Bunyi letupan itu menyebabkan dua anak saya masing-masing berusia sembilan dan tujuh tahun yang berada di ruang tamu takut dan berlari masuk ke dalam bilik," katanya.
Syaza yang juga peniaga berkata, dia mengambil masa beberapa minit untuk menenangkan anaknya termasuk anak bongsunya berusia setahun.
"Saya kemudian bertanyakan mengenai perkara itu dalam kumpulan sembang WhatsApp komuniti perumahan ini dan dimaklumkan letupan berkenaan mungkin daripada bunga api.
"Saya lihat isu bunyi letupan ini menjadi tular di media sosial dengan ada yang mendakwa letupan didengari sehingga ke Puchong dan Cyberjaya.
"Apa yang menjadi kemusykilan saya, bagaimana pula bunyi bunga api di kawasan ini boleh didengari sehingga ke sana? Perkara itu menyebabkan saya teringat peristiwa letupan di Ipoh pada Oktober lalu yang sehingga kini puncanya masih misteri," katanya.
Sementara itu, seorang peniaga di Bandar Putra Permai, Mohamad Hafiz Yan Aljoefry, 23, berkata, bunyi kuat yang didengarinya pada hari kejadian sangat mengejutkan.
"Pada waktu itu, saya sedang goreng ayam sebelum tiba-tiba terdengar bunyi seakan letupan. Saya dengar bunyi letupan itu hanya sekali.
"Saya cuba cari bunyi itu dari mana dengan bertanyakan perkara itu kepada beberapa orang sekitar tetapi mereka pun tidak pasti. Ada yang mendakwa bunyi itu daripada mercun.
"Saya tidak takut dengan bunyi itu memandangkan ia hanya berlaku sekali saja dan kita sendiri tidak pasti bunyi itu dari mana," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan