DR SHAHNOR BASRI
Peletakan jawatan Dr Akmal Saleh sebagai Exco Pemuda UMNO Melaka bukan sekadar satu episod dalaman parti. Ia disertai dengan satu siri kenyataan dan sindiran terbuka yang, walaupun tidak menamakan sesiapa secara langsung, jelas menyasarkan kepimpinan UMNO sendiri. Dalam bahasa politik, mesejnya terang: satu cabaran, satu serangan, dan satu isyarat bahawa politik jerit dan emosi terus dijadikan senjata.
Benar, Timbalan Presiden UMNO memilih pendekatan berlapik dan tidak melabelkan Akmal sebagai melampau atau biadab. Namun politik bukan hanya soal label rasmi, tetapi soal hakikat adab dan akhlak. Dan pada hakikatnya, gaya, nada serta naratif yang dibawa Akmal adalah jauh tersasar daripada tradisi politik matang yang sepatutnya dibina oleh sebuah parti nasional yang berusia lebih tujuh dekad. Akmal tidak pernah hidup pada 13 Mei 1969, betapa ganasnya dan peritnya kehidupan yang disemarakan akibat nyalaan api perkauman!
Kenyataan terbaharu Akmal bahawa kononnya ada pihak “menggelumpur” akibat perletakan jawatannya hanya menzahirkan satu masalah lebih besar: krisis keinsafan diri dalam kepimpinan muda.
Dalam dunia serba bermaklumat hari ini, di mana rakyat boleh menilai, membanding dan menyemak fakta dalam sekelip mata, retorik sebegini bukan sahaja kedengaran angkuh, malah memaparkan kemiskinan kematangan politik.
Selepas lebih 60 tahun kemerdekaan, Malaysia masih dibelenggu politik sentimen perkauman yang murah dan berulang. DAP terus dijadikan punching bag politik — seolah-olah semua masalah negara boleh disederhanakan dengan satu musuh simbolik.
Ya, tidak dinafikan terdapat pemimpin DAP yang bersikap biadab dan berhaluan radikal. Tetapi persoalannya mudah: apa bezanya Akmal jika beliau sendiri menormalisasikan bahasa kasar, emosi meluap dan politik konfrontasi kaum?
Masalah negara ini bukan sekadar siapa yang radikal di sebelah sana, tetapi siapa yang gagal menunjukkan contoh lebih baik di sebelah sini. Politik tidak akan matang jika kebiadaban dijawab dengan kebiadaban, dan ekstremisme dilawan dengan ekstremisme versi lain.
Lebih membimbangkan ialah laungan simbolik “300,000 Akmal baharu” yang dicanangkan. Bagi sesetengah pihak, ia mungkin slogan keberanian. Namun bagi mereka yang memikirkan masa depan negara, ia adalah amaran keras.
Bayangkan sebuah Malaysia yang dipenuhi pemimpin politik berasaskan kemarahan kaum, retorik membakar emosi dan penolakan terhadap dialog rasional. Negara seperti ini bukan menuju kekuatan, tetapi menuju perpecahan yang lebih dalam dan lebih sukar dibendung.
Jika inilah wajah kepimpinan masa hadapan Malaysia, maka kita sedang melangkah ke arah politik segmentasi kaum yang lebih ganas, lebih bising dan lebih berbahaya. Api perkauman mudah dinyalakan, tetapi hampir mustahil dipadamkan apabila ia merebak.
Namun perlu ditegaskan juga, walau apa pun pendirian Dr Akmal — termasuk kecenderungannya untuk “bercium mulus” dengan PAS — janganlah pergeseran kaum ini diheret ke jurang yang lebih dalam dan berbahaya. Politik percintaan taktikal antara individu atau parti tidak seharusnya dibayar dengan kehancuran hubungan kaum dalam negara.
Pada masa yang sama, pimpinan muda DAP yang agresif dan berhaluan keras juga wajar menahan diri; jangan pula menyambut Akmal dengan logik peperangan politik dan retorik balas dendam. Jika api disambut api, negara ini hanya akan tinggal abu.
Yang paling diuntungkan dalam suasana kacau-bilau ini bukanlah rakyat, tetapi PAS — parti yang bijak bermain dondang sayang politik, menangguk di air keruh, dan selama puluhan tahun secara sistematik mensekularkan UMNO daripada roh politik kebangsaan yang sederhana dan inklusif. Ironinya, mereka kini tampil sebagai kononnya pembela agama dan bangsa, sedangkan kerosakan yang ditinggalkan terhadap politik Melayu dan nasional jauh lebih mendalam.
Rakyat harus berhati-hati. Sejarah telah mengajar bahawa kebangkitan politik berteras emosi dan kebencian jarang berakhir dengan kesejahteraan. Ia mungkin memberi sorakan jangka pendek, tetapi meninggalkan luka panjang kepada negara.
Akhirnya, ayuhlah rakyat Malaysia — tua dan muda — hidup dan berpolitik dengan akal yang waras serta budi akhlak yang tinggi. Negara ini tidak kekurangan pemimpin yang berani. Apa yang semakin kurang ialah pemimpin yang matang, beradab dan sedar bahawa kuasa sebenar bukan pada jeritan, tetapi pada kebijaksanaan.
Dalam soal ini, Dr Akmal masih belum melepasi ujian tersebut — dan Malaysia tidak mampu terus dijadikan medan eksperimen politik berasaskan kemarahan kaum yang tidak berkesudahan.
-harapandaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan