Malaysiakini
Ismail Lasim mengesahkan dia dititahkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, meneruskan tugas sebagai menteri besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri.
Dia turut menafikan mengemukakan surat peletakan jawatan bertarikh 16 November kepada baginda atau memberikan persetujuan supaya surat itu diserahkan.
"Saya ingin menjelaskan berhubung laporan mengenai surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang bertarikh 16 Nov lepas, saya tidak ada mengemukakan mahupun memberikan persetujuan untuk surat tersebut dikemukakan kepada Tuanku Muhriz," katanya kepada pemberita di kediaman rasmi menteri besar di Seremban hari ini, lapor Bernama.
Ismail berkata dia komited untuk terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi.
Terdahulu, Ismail, 67, yang juga Adun Juasseh, tiba di Istana Hinggap, Seremban, pada 10.17 pagi untuk menghadap Tuanku Muhriz susulan kemelut pentadbiran negeri.
Baginda berangkat tiba kira-kira 9.30 pagi, diikuti ketibaan tiga pembesar adat Negeri Sembilan, Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid, Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Azrin Khairi.
Kedudukan Ismail sebelum ini menjadi tanda tanya selepas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abd Kadir mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 November.
Menurut Zambry, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menerima salinan surat peletakan jawatan bertarikh hari sama yang ditujukan kepada Tuanku Muhriz dan akan mengemukakan cadangan calon pengganti kepada baginda.
Bagaimanapun, Malaysiakini pada 17 November melaporkan dakwaan seorang sumber yang menafikan Ismail meletak jawatan atau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada istana.
Pada hari sama, Istana Negeri Sembilan memaklumkan kesahihan surat tersebut masih belum disahkan.
Istana turut menegaskan peletakan jawatan menteri besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Ismail sebelum ini menghadap baginda di Istana Hinggap pada 17 November, dengan sesi berkenaan berlangsung dari kira-kira 5 hingga 6.30 petang.
Pada 18 November, NST melaporkan Tuanku Muhriz menitahkan Ismail meneruskan tugas seperti biasa berdasarkan hasil pertemuan itu. Ketika laporan berkenaan diterbitkan, pihak istana belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan pertemuan tersebut.
Ismail mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada 2 Ogos lalu selepas BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala Perikatan Nasional memperoleh tujuh kerusi pada pilihan raya negeri ke-16. Kemenangan itu membolehkan kedua-dua gabungan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan