"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bangunan 16 tingkat runtuh, 7 tertimbus

KOSMO!
PETUGAS kecemasan cuba mengalihkan serpihan sebuah bangunan yang runtuh di kejiranan Eastleigh, Nairobi semalam. – AFP
NAIROBI – Pasukan penyelamat mencari tujuh orang yang dikhuatiri terperangkap selepas sebuah bangunan bertingkat dalam pembinaan runtuh di ibu negara Kenya, Nairobi semalam.

Rakaman video tular menunjukkan impak dahsyat dan kepulan debu tebal semasa bangunan 16 tingkat itu runtuh di kawasan perniagaan serta kejiranan padat penduduk di Eastleigh.

“11 kedai di tingkat bawah dan ruang bawah tanah dibuka semasa  kemalangan berlaku.  Tujuh orang dilaporkan hilang,” kata Menteri Dalam Negeri, Kipchumba Murkomen di platform X lewat semalam.

Menurutnya, 66 daripada 67 pekerja di tapak binaan itu selamat, manakala seorang lagi cedera.

Kontraktor dan jurutera sepatutnya memastikan kerja-kerja diselia oleh golongan profesional. Namun kebanyakan mereka tidak berbuat demikian.

Laporan Lembaga Pemeriksa Bangunan Kebangsaan mendapati 87 peratus bangunan yang diaudit di seluruh Kenya tahun lalu tidak memenuhi piawaian atau  kelulusan yang diperlukan.

Terdapat 86 kejadian bangunan runtuh antara tahun 2009 hingga 2019 di Nairobi, yang mengorbankan dianggarkan 200 orang, manakala amalan rasuah  membolehkan kontraktor mengambil jalan mudah atau melanggar peraturan. – AFP

Remaja maut kemalangan, lima mangsa tercampak dalam parit

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
KERETA dinaiki sebuah keluarga dipercayai terbabas sebelum 'tersangkut' pada pokok kelapa. FOTO Video Alias Abd Rani
KERETA dinaiki sebuah keluarga dipercayai terbabas sebelum 'tersangkut' pada pokok kelapa. FOTO Video Alias Abd Rani
Batu Pahat: "Lima mangsa tercampak, seorang lagi tersepit," demikian gambaran penduduk, Salleh Ismail, 43, ketika menceritakan keadaan di lokasi kemalangan yang mengorbankan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di Jalan Baru Simpang 5, berhampiran Bagan, di sini, malam tadi.

Menurut Salleh, dia bersama beberapa penduduk setempat bergegas ke lokasi sebaik mendapat tahu mengenai kemalangan itu dan melihat kereta 'tersandar' pada pokok.

"Apabila tiba, saya melihat dua mangsa tercampak ke dalam parit, seorang kanak-kanak ditemukan di bawah pokok. Keseluruhannya lima mangsa kemalangan tercampak, seorang lagi tersepit di tempat duduk pemandu.

"Tidak lama kemudian, pasukan bomba tiba. Kami tidak pasti bagaimana kemalangan berlaku, tetapi kereta terbabit turut menghempap bumbung sebuah kenderaan rosak yang diletakkan berhampiran bengkel," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam di Jalan Baru Simpang 5, berhampiran Bagan, di sini, Putera Muhaimin Qudrat Mohd Noor Wandi, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Difahamkan, mangsa bersama ibu dan bapa saudara serta tiga adiknya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Parit Baijuri, Semerah, selepas makan malam di sebuah pusat beli-belah di bandar ini.

Bagaimanapun, kereta yang dipandu bapa saudara mangsa, Nor Azlan Shaharudin, 27, dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan terbabas ke dalam semak berhampiran.

Tiga adik Allahyarham Putera Muhaimin Qudrat iaitu Puteri Nur Fairuza Balqis, 15; Putera Khairunas, 11; dan Putera Aidin Firdaus, tiga tahun dan ibu saudara mangsa, Rahmah A Rahim, 26, cedera dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Ketika kejadian, ibu bapa mangsa, Noorwandi A Rahim, 41, dan Norfarahin Mohamad, 38, dikatakan pulang berasingan dengan menaiki motosikal.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Zulmazi Ariffin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.16 malam.

Katanya, seramai 13 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi untuk membantu menyelamatkan mangsa.

Menjelang PRU16: Hadi, Hamzah dan teka-teki calon PM

Amin Ishak

Hubungan politik Hadi Awang dan Hamzah Zainudin semakin menarik diperhatikan ketika percaturan calon perdana menteri pembangkang mula diperkatakan menjelang PRU16.

Jumlah kehadiran Presiden PAS Hadi Awang ke sidang Dewan Rakyat sering menjadi polemik, terutama apabila lawan politik menggunakannya untuk mempersoalkan tanggungjawab beliau sebagai Ahli Parlimen Marang.

Justeru, apabila Hadi hadir ke Dewan, kelibatnya hampir pasti mendapat perhatian. Begitulah keadaannya pada 12 Okt lalu apabila beliau duduk sebaris dengan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin ketika presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) itu mengambil giliran membahaskan Belanjawan 2027.

Selepas Hamzah selesai berucap, kedua-duanya turut bersama sebahagian besar Ahli Parlimen pembangkang yang hadir.

Pada zahirnya, kedua-dua momen itu mungkin tidak membawa apa-apa makna luar biasa. Seorang presiden parti hadir mendengar ketua pembangkang berbahas, kemudian bergambar bersama rakan-rakan politik.

Namun, dalam landskap politik semasa, apatah lagi ketika PRU16 semakin menghampiri, perkara yang kelihatan biasa kadangkala mengundang tafsiran lebih luas.

Satu persoalan yang mungkin timbul ialah sama ada kehadiran Hadi sekadar tanda sokongan kepada Hamzah sebagai ketua pembangkang, atau mencerminkan keyakinan lebih besar terhadap pemimpin berkenaan dalam percaturan selepas PRU16.

Persoalan itu menjadi relevan apabila parti-parti pembangkang kini mencari bentuk kerjasama baharu selepas pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN), dengan PAS, Wawasan, Gerakan, Pejuang dan MIPP antara parti berpotensi bergerak dalam satu jajaran politik.

(Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Okt membenarkan permohonan PN untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia yang membatalkan pendaftaran gabungan itu.)

Nama Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar tentunya tidak boleh diketepikan. Naib presiden PAS itu sudah lama disebut sebagai antara pemimpin berpotensi diketengahkan ke peringkat nasional, malah pernah dilantik ketua pembangkang ketika PN masih berfungsi sebagai sebuah gabungan.

Namun, perkembangan selepas itu memberi satu dimensi lain.

Jun lalu, Hadi mengumumkan Hamzah akan kembali menjadi ketua pembangkang selepas Samsuri memegang jawatan itu untuk tempoh singkat. Keputusan berkenaan dibuat selepas sokongan majoriti Ahli Parlimen pembangkang beralih semula kepada Hamzah.

Ia bukan kali pertama Hamzah mendapat kepercayaan politik yang mempunyai kaitan dengan PAS.

Selepas PRU15, pelantikannya sebagai ketua pembangkang juga dibuat susulan cadangan PAS. Apabila Hamzah menubuhkan Wawasan pula, beliau mendedahkan nama parti itu diberikan Hadi.

Semua episod itu tidak bermakna Hadi sudah memilih Hamzah sebagai calon perdana menteri. Tiada pengumuman sedemikian dibuat, malah Hadi sebelum ini menegaskan soal calon hanya boleh dinilai selepas diketahui kekuatan sebenar setiap parti pada pilihan raya.

Tetapi di situlah angka menjadi penting.

PAS mempunyai 43 Ahli Parlimen ketika ini, menjadikannya parti tunggal dengan wakil terbesar di Dewan Rakyat. Jika parti itu mampu mempertahankan atau menambah kerusinya pada PRU16, kedudukannya dalam menentukan bentuk kerajaan selepas pilihan raya tentunya semakin besar.

Cakap-cakap mengenai calon perdana menteri juga tidak boleh dipisahkan daripada kemungkinan kerjasama PAS dengan Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, berlandaskan semangat penyatuan ummah yang kembali diperkatakan.

Dalam senario sedemikian, nama Presiden Umno Zahid Hamidi turut muncul. Bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming pada September lalu meramalkan Zahid boleh menjadi perdana menteri jika satu ‘gelombang biru’ membolehkan BN bersama PAS dan sekutunya membentuk kerajaan selepas PRU16.

Menurut Ong, Zahid berpotensi menjadi calon yang boleh diterima parti-parti lain termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Namun kedudukan itu tentunya banyak bergantung pada prestasi Umno.

Umno kini mempunyai 26 Ahli Parlimen. Jika parti itu kembali dominan dengan menambah kerusi secara ketara pada PRU16, Zahid atau pemimpin Umno lain mempunyai asas lebih kukuh untuk diketengahkan sebagai calon perdana menteri.

Tetapi, bagaimana pula jika PAS kekal sebagai parti terbesar dalam blok berkenaan?

Jika PAS menambah kerusi, sementara Wawasan pimpinan Hamzah turut mendapat tempias daripada kerjasama politik yang dibentuk menjelang PRU16, imbangan kuasa dalam blok itu boleh berubah.

Dalam keadaan tiada satu parti mempunyai majoriti mudah, sokongan PAS tentunya menjadi amat bernilai.

Perlembagaan menetapkan Yang di-Pertuan Agong melantik seorang Ahli Dewan Rakyat sebagai perdana menteri yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan.

Maka, jika PAS muncul dengan kumpulan Ahli Parlimen terbesar dalam sesuatu jajaran kerajaan selepas PRU16, pendiriannya mengenai siapa yang patut mengetuai kerajaan tidak boleh dipandang ringan.

Adakah Samsuri menjadi pilihannya? Adakah PAS bersedia menyokong Zahid sekiranya Umno kembali kuat? Atau mungkinkah nama Hamzah sekali lagi diketengahkan?

Hamzah sekurang-kurangnya mempunyai pengalaman pentadbiran untuk dimasukkan dalam pertimbangan. Beliau pernah memegang portfolio menteri dalam negeri, selain pernah menjadi menteri perdagangan dalam negeri dan timbalan menteri luar.

Kini, beliau mempunyai pula pengalaman mengetuai blok pembangkang serta sebuah parti sendiri.

Menariknya, Hamzah sendiri setakat ini tidak meletakkan dirinya secara terbuka sebagai calon.

Tetapi, sejarah politik negara menunjukkan calon perdana menteri tidak semestinya ditentukan lebih awal melalui poster, konvensyen atau pengumuman parti.

Kadangkala keputusan sebenar hanya muncul selepas keputusan pilihan raya diketahui, apabila angka kerusi sudah berada di atas meja dan setiap parti mula menentukan siapa yang boleh mengumpulkan sokongan majoriti.

Sebab itu, kehadiran Hadi di sisi Hamzah pada 12 Okt tidak harus dibaca terlalu jauh. Ia bukan bukti bahawa satu keputusan sudah dibuat.

Namun, ia juga sukar dipisahkan daripada beberapa perkembangan sebelum ini — daripada pelantikan Hamzah sebagai ketua pembangkang, pengembaliannya ke jawatan itu, sehinggalah hubungan politik yang semakin jelas antara kedua-duanya.

Dalam politik, hampir semua perkara boleh berubah sebaik angka pilihan raya diketahui.

Tetapi, sebelum pilihan besar dibuat secara terbuka, kecenderungan seseorang pemimpin kadangkala sudah boleh dibaca daripada pilihan kecil yang dibuatnya lebih awal.

Dan setakat ini, apabila tiba beberapa persimpangan penting dalam perjalanan politik Hamzah, Hadi tidak pernah terlalu jauh daripadanya.