"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Izinkan Saya Mengagumi Babi

Oleh Zolkharnain Abidin

Baca sini dan sini untuk mengetahui latar belakang kiriman ini.

SATU – Dalam usia 48 tahun, dia berada di tempatnya sekarang. Hampir tidak ada manusia yang tidak mengenalinya. Dia diakui hebat walau pun pernah melalui liku kehidupan yang berwarna-warni.

Seawal usia dua tahun ayah dan ibunya berpisah dan ayahnya berangkat ke Kenya. Hanya pada 1982 dia berpeluang bertemu ayahnya sebelum ayahnya meninggal. Dia pernah menetap di Indonesia bersama ibu dan bapa tirinya.

Dia berjaya memasuki Sekolah Undang-undang Harvard pada tahun 1988. Mengajar di Universiti Chicago pada tahun 1992. Menjadi Senat Illinois pada tahun 1996. Menjadi Senator Amerika pada tahun 2005.

Pada tahun 2007, dia mengumumkan untuk bertanding Presiden Amerika Syarikat di hadapan bangunan Old State Capitol tempat dimana Abraham Lincoln pernah berucap.

Seterusnya, tanggal 4 November 2008 dia menewaskan John McCain dan menjadi orang Afrika-Amerika pertama menjadi Presiden negara kuasa besar dunia itu.

Walau pun pernah membesar tanpa ayah di sisi, daripada ratusan juta rakyat Amerika, manusia berketurunan Afrika – Amerika, berkulit hitam, akhirnya berjaya mendiami Rumah Putih. Itulah Barrack Obama.

DUA - Manusia ini dididik dengan keras oleh ayahnya. Berkulit hitam dan disanjung sebagai Raja Pop, memulakan karier nyanyiannya seawal usia lima tahun.

Manusia ini bercerita, dia sering menangis kesepian dan terkadang termuntah kerana melihat kelibat ayahnya. Semuanya kerana pengalaman dia dibelasah dengan teruk oleh ayahnya semasa kecil untuk mendisiplinkannya.

Pada tahun 1964, dia bergabung dengan Jackson Brothers, band yang ditubuhkan oleh saudara-maranya.

Tiga penghargaan untuk manusia ini diterimanya pada tahun 1980 di American Music Awards untuk penampilan solonya. Antaranya ialah Favourite Soul / R & B Album.

Pada tahun 1984, dia cedera terbakar ketika menjayakan iklan Pepsi Cola di Shrine Auditorium, LA. Kejadian itu mengundang simpati umum untuknya.

Dia asalnya berkulit coklat, namun mulai 1980 kulitnya lebih putih. Perubahan itu menimbulkan pelbagai persepsi terhadap dirinya.

Pada tahun 2008, salah satu albumnya terjual sehingga 30 juta unit. Konsertnya di Jepun dihadiri seramai 570,000 penonton. Di Stadium Wembley, konsertnya dihadiri 504,000 orang. Dia pernah mengadakan 123 konsert di hadapan 4.4 juta orang dan memperoleh pendapatan sebanyak USD125 juta pada tahun itu.

Dia pergi juga akhirnya dengan ratapan ramai orang termasuk sebahagian orang Islam. Itulah manusia bernama Michael Jackson.

TIGA – Manusia ini pernah disingkir daripada Universiti Harvard. Lahir pada tahun 1955 dan mula berkenalan dengan komputer pada tahun 1968.

Microsoft yang disifatkannya sebagai cakera lembut masa hadapan dihasilkan bersama kawannya pada tahun 1975. Pada dasawarsa 1980, dia gembira kerana penerimaan membanggakan terhadap Cd-Rom sebagai media penyimpanan dokumen yang efektif.

Dia turut melakukan kesilapan dalam bisnesnya apabila menjadikan Internet Explorer memonopoli sistem operasi komputer di Amerika yang menimbulkan pelbagai dakwaan buruk terhadapnya.

Manusia ini memutuskan untuk menyumbangkan 90 peratus pendapatannya untuk biasiswa universiti, kaum minoriti, menentang AIDs dan penyakit. Dilaporkan bahawa pada tahun 1999, dia telah menderma sebanyak USD5 juta dalam organisasi masyarakat.

Manusia ini masih hidup dan menjadi antara manusia terkaya di dunia. Dialah Bill Gates.

* * * * * * * * * * * * * * *

Itulah sebahagian mereka yang berjaya dalam dunia masing-masing. Siapa pun mereka, telah terbukti kewibawaan mereka. Samada Barrack Obama, Michael Jackson atau Bill Gates, mereka diiktiraf bahkan dikagumi.

Saya katakan, jika kita ‘tak berapa pandai’ jangan halang orang lain untuk jadi pandai. Jika kita lemah, jangan halang orang lain untuk jadi kuat. Jika kita tidak tahu berbuat apa-apa, jangan halang orang lain berjasa.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Babi memang tidak berguna untuk orang Islam sebagai makanan, tetapi dia berguna sebagai bahan iktibar. Kejadian babi sangat menakjubkan dan semua manusia mengaguminya. Kalau ada orang Islam yang tidak mengagumi babi dari sudut keajaiban kejadiannya, orang itu tentu tidak sempurna akalnya.

Saya tidak berhasrat menyamakan sesiapa dengan babi tetapi sekadar untuk menyebutkan bahawa, kalau babi yang dipandang pembawa mudarat itu pun patut dan boleh dikagumi, apatah lagi manusia.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Saya mengagumi Barrack Obama dari sudut keazaman politiknya, Michael Jackson dari sudut kerja kerasnya dan Bill Gates dari sudut kepintarannya. Justeru salahkah saya mengagumi Siti Nurhaliza dari sudut kejayaannya mempertahankan identitinya sebagai penyanyi yang tahu akar budayanya?

* * * * * * * * * * * * * * * * *

Buat mereka yang menyerang saya kerana mengagumi Siti Nurhaliza, tolong jawab soalan ini. Mana lebih berbahaya antara orang yang kagum kepada dirinya sendiri dan merasa dirinya serba suci dengan orang yang kagum kepada kebolehan orang lain?

http://bongkarsauh.blogspot.com/

Tiada ulasan: