"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Inkues: Sampel DNA lelaki tidak sama di pakaian Teoh

Sampel DNA ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Tan Boon Hwa dan juruteknik Lee Wye Wing tidak sama dengan DNA yang ditemui pada belakang baju dan tali pinggang Teoh Beng Hock.

Gobind Singh Deo, bertindak sebagai peguam pemerhati kepada keluarga mendiang, berkata demikian pada permulaan inkues menyiasat sebab kematian bekas wartawan itu.

Tan dan Lee dilaporkan pada awalnya enggan memberikan sampel DNA mereka bagi membantu siasatan polis berhubung kematian penuh tanda tanya setiausaha exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, pada 16 Julai lalu.

Kedua-dua lelaki itu kemudian menjelaskan
mereka ada aral lain yang menghalang mereka menyerahkan sampel air liur - untuk ujian DNA - lebih awal.

Blog t4tbh.blogspot.com dilaporkan mendakwa Tan dan Lee dicurigai suspek pembunuh Teoh susulan keengganan mereka menyerahkan sampel DNA lebih awal.

Inkues di depan koroner Azmil Muntapha Abas minggu lalu diberitahu bahawa
lima sampel diambil daripada bahagian belakang blazer yang dipakai oleh Teoh pada hari kejadian dan hasil laporan menunjukkan terdapat dua DNA lelaki pada bahan bukti itu.

Satu daripada DNA itu dikenal pasti sebagai DNA Teoh, yang berpadanan dengan spesimen darahnya, manakala satu lagi pemilik DNA yang tidak diketahui.

DNA lelaki misteri itu turut ditemui pada bahagian tali pinggang yang dipakai Teoh, yang bercampur aduk dengan DNA mendiang.

Teoh ditemui mati selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di atas bumbung tingkat 5 Plaza Masalam, Shah Alam, yang menempatkan bangunan suruhanjaya tersebut.

Kematiannya yang menimbulkan pelbagai persoalan, mendorong kerajaan menubuhkan inkues dan suruhanjaya siasatan diraja bagi menentukan kematiannya dan prosedur siasatan SPRM.
-malaysiakini.com-

Tiada ulasan: