"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Meraba cinta di tangga kelima Rukunegara

Oleh: Zukri Aksah

HARI Sabtu baru-baru ini telah berlangsung Perhimpunan Mansuhkan ISA di ibu kota Kuala Lumpur anjuran GMI (Gerakan Mansuhkan ISA) bersama sekutu-sekutu rapatnya dari pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik Pakatan Rakyat.

Sememangnya ada hasrat kuat untuk saya pergi memeriahkan suasana tetapi pada tarikh yang sama, Jumaat dan Sabtu, saya terlibat dengan pengendalian sebuah program latihan di sebuah hotel sekitar Cherating, maka ia tidak memungkinkan untuk saya ke Kuala Lumpur. Tambahan lagi dalam seminggu dua ini, saya begitu sibuk menguruskan perpindahan ke rumah baru saya.

Jadinya, saya hanya mengikuti dan memerhati dari jauh. Saya mengharapkan ia sebuah perhimpunan aman, apalagi pertembungan dengan kumpulan Magaran yang saya risaukan nyata tidak berlaku. Sepatutnya ia memang begitu, aman! Tetapi nyata pendekatan pihak polis tidak pernah berubah dalam berhadapan dengan para demonstran sejak Perhimpunan 100 ribu rakyat di Lebuhraya Kesas dahulu.

Mengejutkan bila Sabtu lalu lebih 500 orang ditangkap, saya kira tangkapan paling ramai semenjak berbudayanya demonstrasi di era reformasi ini. Berhimpun adalah hak rakyat dan dijamin oleh perlembagaan, kenapa tidak dibiarkan sahaja selagimana mereka boleh melangsungkan perhimpunan itu secara aman? Hak ini dimaktubkan dalam perlembagaan jauh sebelum wujudnya Seksyen 27 Akta Polis, pihak polis perlu maklum akan hal ini. Kemudiannya perlembagaan dipinda dengan memasukkan kekecualian dalam hak berhimpun rakyat ini semata-mata mahu menghalalkan status Seksyen 27 Akta Polis yang sepatutnya haram.

Apakah pihak polis tidak ambil peduli tentang imej mereka yang semakin teruk? Katanya cuba diperbaiki apabila diwujudkan Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis satu ketika dahulu, tetapi dalam masa yang sama juga kita dihidangkan dengan tragedi kematian Kugan dan Rumie dalam tahanan mereka. Saya ingat cerita bagaimana kasarnya pihak polis melayani para demonstran sudah menjadi cerita basi kontra demokrasi di negara ini, rupa-rupanya tidak! Peristiwa Sabtu lalu meneruskan legasi kekejaman pihak polis.

Ya, saya mungkin hanya mendengar cerita orang. Cerita Ketua Dewan Pemuda PAS yang dipancut air semburan berasid tepat ke mukanya dari water cannon sehingga terguling dan termuntah. Ada demonstran wanita yang terkena air yang sama sampai rebah dan pengsan. Juga cerita penahanan beramai-ramai bak satu lagi episod Operasi Lalang.

Mengamatinya mengingatkan saya kepada peristiwa Perhimpunan 100,000 rakyat di Lebuhraya Kesas beberapa tahun yang lalu. Pertamanya jangan salah tanggap yang para demonstran gila mahu berhimpun di lebuhraya sehingga menyesakkan jalan, mereka mahu berkumpul di Jalan Kebun tetapi semua jalan ke sana telah ditutup oleh pihak polis ketika itu. Saya adalah salah seorang dari ribuan yang berada di sana. Saya telah saksikan bagaimana pihak polis membelasah seorang tua sehingga patah belantannya, juga bagaimana kurang ajarnya pihak polis menendang motosikal-motosikal yang diletakkan di tepi-tepi jalan sehingga jatuh terbalik. Saya juga sudah rasakan “manisnya” semburan air berasid dari FRU.

Jangan salahkan para demonstran bila peniaga terpaksa menutup kedai dan menghentikan operasi perniagaan. Peniaga bimbang kedai mereka akan dikotori dengan curahan air berasid FRU dan sisa-sisa gas pemedih mata, peniaga juga bimbang pelanggan mereka ditakuti oleh gerombolan demonstran yang terpaksa mencari tempat perlindungan akibat asakan pihak polis. Cuba jika pihak polis hanya datang mengawal dan membenarkan perhimpunan itu berlangsung secara aman, apakah peniaga akan terjejas?

Saya banyak pengalaman peribadi dengan pihak polis ketika masih aktif berpolitik dahulu. Dalam satu penganjuran program baca puisi di sebuah dewan tertutup di Kuantan pada tahun 2006, yang sepatutnya tidak memerlukan permit polis dan tidak melibatkan mana-mana bidang kuasa polis pun, dewan yang dirancang digunakan untuk program tersebut pada jam 9.00 malam telah dikepung oleh kekuatan empat trak Polis Anti Rusuhan (PORU) dari Pasukan Gerakan Am (PGA) sejak jam 6.00 petang, kepungan dari semua penjuru. Saya bersama tetamu jemputan ketika itu nekad merempuh masuk dan menjayakan program seperti direncana, sama ada orang-ramai berani untuk turut serta atau tidak, natijahnya saya bersama lapan orang sahabat telah diheret ke balai pada malam itu. Kata polis cawangan khas yang saya kenal, mereka tidak boleh berbuat apa-apa, itu arahan OCPD. OCPD ikut arahan siapa? Arahan undang-undang atau arahan politikus atasan?

Saya tertanya-tanya, apakah pihak polis dalam menjalankan tugas mereka, tidak diajar dan dilatih dengan kasih-sayang? Dengan cinta? Tidak bolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab mereka menjaga dan memastikan keselamatan negara (dan juga rakyat) dengan penuh kasih-sayang dan cinta, sesama manusia dan sesama warga?

Bukankah rukun kelima dalam Rukunegara adalah Kesopanan dan Kesusilaan? Apakah pihak polis menghafal Rukunegara? Kalau tidak buangkan sahaja apa-apa lambang Malaysia yang ada di uniform mereka. Apakah pihak polis tidak sedar yang Islam adalah agama kasih-sayang, agama akhlak? Saiditina Aisyah berkata akhlak Nabi adalah al-Quran yang bergerak. Jika tidak sedar buangkanlah juga segala logo yang bertatahkan Allah dan Muhammad di uniform mereka, saya takut nanti ketulahan.

Saya, setiap kali berhadapan dengan orang-orang polis (meminjam skrip Bukit Kepong) akan menjadi buta dan terpaksa meraba-raba, meraba cinta di tangga kelima Rukunegara, yang sepatutnya dihadzami secara penuh bangga oleh seluruh rakyat Malaysia, orang orang seperti saya, lebih lagilah untuk orang-orang polis yang menjadi tonggak keselamatan negara.

Namun yang berlaku adalah seperti kata isteri saya setiap saya tunjukkannya wajah-wajah polis cawangan khas yang kerap mendampingi saya satu masa dahulu. Kata isteri saya, wajah mereka gelap, tiada seri. Sudah tentu tiada seri kerana mereka tidak pernah faham tentang kasih-sayang dan cinta! Keperluan hidup sesama manusia dan warga.

Tiada ulasan: