"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Umno sudah jadi mainan sorok- menyorok pembekal gula

Adnan Ibrahim

Pengguna dan peniaga mula bersungut bekalan gula sukar didapati di pasaran. Peniaga kedai kopi pula terpaksa bertanyakan kepada pelanggan peminat teh O atau kopi O sama ada mahu terus memesan minuman tersebut kerana mereka tidak ada gula.

Jika peminat teh O atau kopi O tetap dengan citarasanya maka mereka terpaksa meminum teh O atau kopi O kosong iaitu teh O atau kopi O yang tidak dimasukkan gula. Sudah tentu rasanya pahit tetapi bagi pengidap kencing manis ia mungkin memberi manafaat.

Bagaimanapun selera boleh diubah dengan memesan teh atau kopi yang dicampur susu tetapi ia akan menambah belanja bulanan minum di kedai kopi. Namun begitu hamburan seranah tetap keluar daripada mulut peminat teh O atau kopi O terhadap kegiatan sorok gula.

Gula menjadi pemanis minuman dan makanan yang paling murah berbanding susu atau bahan pemanis lain. Jika gula tiada di pasaran bermakna berlaku peningkatan perbelanjaan keluarga kerana terpaksa mengantikan bahan pemanis lain yang lebih mahal.

Sebenarnya rakyat sudah bosan dengan sikap kerajaan yang gagal menangani kegiatan sorok bekalan gula. Malah kejadian ini boleh dikatakan berlaku hampir setiap tahun.

Kegiatan sorok menjadi ugutan serta tekanan terbaik bagi pembekal gula terhadap kerajaan disamping terdapat unsur rasuah yang menambah lagi kejayaan perbuatan tersebut.

Malah setiap kali kegiatan sorok gula berlaku maka kerajaan terpaksa memanggil pemborong dan pembekal gula untuk bermesyuarat dan pada kebiasaannya daripada peristiwa dan sejarah lepas peniaga tersebut mendapat laba apa yang mereka mahu.

Akhirnya permintaan menaikkan harga gula diluluskan kerajaan. Budaya niaga seperti ini turut ditiru oleh pembekal tepung gandum malah pembekal beras juga turut mengambil kesempatan ketika beras berkurangan di pasaran.

Cara niaga seperti ini, akhirnya mendapat kejayaan kepada pembekal. Kerajaan tunduk kepada tekanan peniaga. Sebaliknya dalam soal lain kerajaan tetap keras kepala konon tidak akan tunduk dengan desakan pembangkang walaupun ia keputusan majoriti rakyat.

Umpamanya dalam isu bahasa Melayu dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerajaan dengan bongkak dan sombong mengatakan mereka tidak akan tunduk kepada tekanan walaupun rakyat keluar berdemontrasi di jalan raya.

Kenapa pemimpin Umno dan pemerintah Barisan Nasional (BN) tidak menunjukkan kesombongan dan kebongkokkan tersebut terhadap golongan pembekal yang menekan mereka melalui kegiatan sorok barangan keperluan harian?

Sepatutnya ketegasan kerajaan patut ditunjuk sama kepada peniaga tersebut supaya rakyat tidak menghadapi bebanan kesempitan hidup akibat kenaikan harga barang.

Sebaliknya itu tidak berlaku, kenapa? Apakah kerajaan BN diselubungi rasuah dengan golongan peniaga sehingga tidak berani menentang desakan tersebut?

Rakyat juga tahu Umno menggunakan banyak wang setiap kali pilihan raya umum dan kecil. Dari mana wang tersebut diperolehi atau mungkin daripada sumbangan konglomerat tersebut yang menguasai pasaran barangan keperluan harian.

Sekiranya unsur tersebut benar maka tidak hairan pemerintah BN akan tunduk kepada desakan menaikkan harga barangan keperluan harian.

Maka perbuatan menyorok barang seperti gula bukanlah menjadi kehairanan kerana ia ada unsur seolah kerajaan memberi lampu hijau dibelakang tabir.

Apabila barangan seperti gula tidak ada dipasaran maka sudah tentu kenaikan harga gula yang diluluskan oleh kerajaan boleh menjadi relevan kepada rakyat.

Rakyat akhirnya terpaksa menerima dengan alasan kononnya harga gula lebih mahal di negara jiran maka kegiatan penyeludupan gula berleluasa ke negara tersebut.

Kalau kerajaan boleh mengarahkan polis menggagalkan demontrasi ISA kenapa tidak ada kerahan bagi menggagalkan penyeludupan?

Apa yang nyata ialah kerajaan banyak beralasan demi menjaga kepentingan konglomerat daripada kepentingan rakyat. Umno tidak sedar ia telah menjadi mainan sorok-menyorok golongan tersebut.

Selagi Umno memerintah isu sorok gula tidak akan selesai. Lihatlah bagaimana kerajaan PAS Kedah dalam masa tidak sampai setahun berjaya menghapuskan pusat penyembelihan babi haram sejak 40 tahun lalu semasa pemerintahan Umno lagi.

Umno memerintah Kedah begitu lama tetapi gagal menyelesaikan masalah yang bertentangan dengan peraturan. Apakah pemerintahan Umno itu kerana ada unsur rasuah sehingga pusat penyembelihan itu boleh beroperasi begitu lama tanpa lesen?

Begitu juga masalah arak di Selangor walaupun pemerintahan Umno berjaya membuat peraturan mengharam jualan arak di kawasan majoriti orang Islam tetapi Umno gagal menguatkuasakannya.

Pemerintahan Umno Selangor tidak berjaya menghalang kedai daripada menjual arak. Sebaliknya dibawah kerajaan pakatan rakyat, Pihak Berkuasan Tempatan (PBT) berani bertindak berdasarkan peraturan yang ditetap mereka.

Oleh kerana tindakan rampasan arak oleh PBT di Shah Alam berdasarkan peraturan yang sedia ada maka PAS bersetuju. Walaupun PAS bukan majoriti dalam kerajaan Selangor tetapi tindakan tersebut telah memberi kejayaan kepada rakyat demi menjaga sosial masyarakat Islam.

Sebaliknya apa yang Umno boleh buat walaupun ada peraturan atau apakah Umno hanya takut kepada golongan peniaga lebih daripada rakyat? Atau apakah Umno banyak diselubungi bayangan rasuah sehingga tunduk kepada perasuah?

Tiada ulasan: