"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

GISBH: 3 mengaku tak salah dagang manusia, serangan seksual

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tiga individu terkait Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas pertuduhan pemerdagangan manusia dan melakukan amang seksual fizikal.

Tertuduh, Mahmad Hamal Tukiman, 57, dan Rabiahtul Adawiyah Md Shash, 31, masing-masing menghadapi empat pertuduhan pemerdagangan empat individu membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang dipercayai pengurus sebuah resort GISBH bersama tiga lagi yang masih bebas iaitu Afizah Afizah Arifin, Mohamad Suhaimi Mohd Sani, dan Norafiratul Abidah Ismail didakwa mencapai niat bersama memperdagangkan orang yang bukan kanak-kanak berusia antara 30 hingga 57 tahun.

Perbuatan ke atas tiga wanita dan seorang lelaki itu adalah bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan cara ancaman di Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar, Pengerang, Kota Tinggi, antara Ogos 2023 hingga 1 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan jumlah RM50,000 bagi setiap tertuduh untuk setiap pertuduhan, sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin, lapor Berita Harian.

Beliau turut mencadangkan syarat tambahan jaminan iaitu dengan dua orang penjamin, pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi.

Peguam Fathul Anwar Muin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon anak guamnya dibenarkan jamin dengan jumlah yang rendah atas alasan mempunyai tanggungan.

“Mahmad Hamal mempunyai 11 orang anak dan masih menanggung sembilan daripadanya selain lapan orang cucu. Tertuduh mempunyai dua isteri yang mana isteri kedua sedang hamil lima bulan dan kedua-duanya tidak bekerja.

Rabiahtul Adawiyah pula mempunyai empat orang anak dan anak bongsu berusia dua tahun masih menyusu badan. Tertuduh turut menanggung ibunya, katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin keseluruhan RM40,000 dengan dua penjamin beserta semua syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Kes itu kemudian ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 27 Nov.

Dakwaan amang seksual
Sementara itu, seorang pekerja resort itu, Muhammad Ansarullah Tukino, 20, mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu bagi maksud seksual terhadap lelaki berusia 16 tahun lima bulan dengan cara meraba paha dan kemaluan mangsa di surau Ikhwan Resort itu, kira-kira 10 malam, pada 1 Jun dan 3 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimun 20 tahun dan boleh dihukum sebat, jika sabit kesalahan.

Ahmad Khairuddin turut tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun mencadangkan jumlah RM40,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta dua penjamin dengan tiga syarat tambahan.

Peguam Muhammad Zaim Rusli yang mewakili tertuduh memberitahu anak guamnya hanya bersedia dengan RM8,000 untuk ikat jamin yang akan dibayar oleh abangnya.

“Di resort berkenaan, tertuduh ditugaskan untuk menjaga lembu dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan. Bagaimanapun, dia sudah tidak menerima gaji sejak 2023.

Anak guam saya mengalami sakit tekanan darah rendah dan mengambil ubat-ubatan secara berkala. Dia tinggal bersama keluarga di Muar dan tiada pasport, katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan passport diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 28 Nov.

Tiada ulasan: