"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri Agama minta JAKIM sedia laporan video tular kumpulan pelajar didakwa puja guru agama

BERNAMA

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diminta menyediakan laporan berhubung video seorang pendakwah dan sekumpulan pelajar yang mengalunkan bait bahasa Arab yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata JAKIM juga perlu membawa perkara itu kepada tindakan pihak berkuasa agama Islam negeri terbabit iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah serta Jabatan Mufti Negeri Kedah.

"Sebarang isu berkaitan ketaksuban melampau perlu ditangani dengan segera kerana sekiranya tidak dibendung, ia boleh mengakibatkan masyarakat terjerumus kepada amalan yang bercanggah dengan akidah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

'Kami hairan air datang dari mana...'
Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit dua saat memaparkan pendakwah lelaki dan sekumpulan pelajar yang mengalunkan bait bahasa Arab yang didakwa sebagai satu tindakan memuja guru agama secara melampau.

Mohd Na'im turut meminta agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan khususnya JAKIM, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melipatgandakan usaha memberi kefahaman kepada masyarakat berkait asas akidah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah.

Susulan itu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menerusi kenyataan petang ini, memaklumkan pihaknya telah menyiapkan laporan lengkap mengenai isu berkenaan.

Bagi mencari penyelesaian terhadap isu itu secara tuntas, katanya, JAKIM telah menghubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Mufti Negeri Kedah selaku pihak autoriti agama di negeri Kedah untuk tindakan susulan.

"JAKIM berharap dengan pemakluman ini dapat meredakan isu terbabit dan tidak menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

"JAKIM juga dari semasa ke semasa sentiasa memberikan penjelasan kepada masyarakat Islam berkait kefahaman akidah yang sahih berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah selari dengan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)," katanya.

Mengenai video tular itu, beliau berkata, ia menunjukkan sekumpulan pelajar dalam satu majlis sedang mengalunkan qasidah di hadapan guru mereka yang didakwa mengandungi bait ayat dalam bahasa Arab memuji guru mereka secara keterlaluan.

"Secara asasnya, hukum asal memuji seseorang adalah harus dengan syarat pujian itu pada perkara yang benar dan bukannya dusta," katanya.

Tiada ulasan: