"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tayar pecah, kakitangan MPJ maut nahas

Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my
Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan Kesang Tua-Durian Tunggal, semalam. - Foto IPD Jasin
Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan Kesang Tua-Durian Tunggal, semalam. - Foto IPD Jasin
JASIN: Pembantu Am Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) maut selepas terbabit kemalangan disyaki berpunca akibat tayar kereta dipandunya pecah di Jalan Kesang Tua-Durian Tunggal, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata dalam kejadian jam 1 tengah hari, mangsa Ab Basit Dangi, 40, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Jasin akibat kecederaan parah.

Menurutnya, laporan kemalangan membabitkan dua kenderaan itu diterima daripada orang awam pada jam 2 petang.

"Ketika kejadian hujan renyai dan sebuah Proton X70 dipandu ahli perniagaan sedang dalam perjalanan dari arah Bemban menghala Durian Tunggal.

"Sampai di tempat kejadian, Proton Saga dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan Proton X70 akibat tayar pecah hingga berlaku perlanggaran.

"Pelanggaran itu menyebabkan kereta mangsa remuk di bahagian sisi kanan manakala Proton X70 rosak di bahagian hadapan," katanya dihubungi di sini.

Ahmad Jamil berkata, akibat kemalangan, Ab Basit cedera parah di dada dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

"Pemandu X70 luka di dahi serta sakit kepala dan dirawat di sebuah hospital swasta. Siasatan lanjut masih dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Mohd Shaiful Hizam Johan berkata, Ab Basit seorang kakitangan yang mesra dengan rakan sekerja dan bertanggungjawab.

"Allahyarham sudah lebih lapan tahun berkhidmat di Jabatan Landskap dan Perkhidmatan Bandar (JLPB) MPJ iaitu sejak 1 Januari 2016," katanya.

Beliau bersama kakitangan MPJ turut menyantuni keluarga arwah dan menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham, Nor Azah Mohd Tahir,

Tiada ulasan: