"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gadis hilang lepas buang sampah depan rumah

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

TEMERLOH – Kehilangan seorang gadis yang keluar membuang sampah di hadapan rumahnya di Taman Temerloh Jaya di sini terus menimbulkan tanda tanya kemana mangsa menghilang dalam sekelip mata.

Mangsa Nurul Aliya Zulkifli, 20, hilang sejak 6 Oktober lalu dan laporan polis telah dibuat oleh bapanya pada 7 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, berdasarkan laporan, gadis terbabit keluar dari rumah pada pukul 10.15 malam bagi membuang sampah di hadapan rumahnya.

“Setelah sekian waktu pengadu (bapa mangsa) mendapati anaknya tiada di hadapan rumah dia telah membuat carian di sekitar kawasan tetapi tidak berjaya menjumpai mangsa.

“Bapa mangsa telah datang ke balai polis bagi membuat laporan dan kes disiasat sebagai Orang Hilang,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya berdasarkan maklumat, pakaian terakhir mangsa semasa hilang ialah baju blaus putih belang biru dengan seluar hitam dan memakai sandal jenama Adidas berwarna hitam.

Beliau memberitahu, mangsa yang berkulit kuning langsat, berbadan kurus dengan berketinggian 160 sentimeter dan berat kira-kira 45 kilogram.

“Tiada kamera litar tertutup di lokasi kejadian dan pihak polis telah menjalankan pencarian, sehingga sekarang masih belum menjumpai mangsa berkenaan.

“Kepada sesiapa yang menjumpai mangsa dan mempunyai maklumat diminta berhubung dengan pihak polis Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Temerloh dengan menghubungi talian 09-2716222,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: