Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my
Shah Alam: Tiga anggota dan seorang pegawai berpangkat Inspektor dari sebuah balai polis di Shah Alam dipindah keluar dari Selangor selepas dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan premis kerajaan dengan menganjurkan 'parti persendirian' pada awal pagi 28 September lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua anggota itu dipindahkan serta-merta susulan tindakan seorang anggota berpangkat Koperal membawa masuk empat orang awam termasuk tiga wanita dalam pejabat mereka.
"Dalam insiden 'so called' parti itu, kita jumpa anggota berpangkat Koperal membawa masuk orang awam termasuk tiga wanita ke pejabat mereka dengan adanya muzik serta sedikit makanan.
"Ini jelas bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) iaitu mana-mana orang awam tidak boleh dibawa ke premis pejabat tanpa ada urusan rasmi. Itu adalah tindakan dalaman yang mana kesemua mereka diambil tindakan keluar terus dari Selangor (Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor).
"Bukan saja dia (Koperal), tiga lagi anggota yang sepatutnya menjadi penyelia dia iaitu seorang berpangkat Sarjan, Sarjan Mejar dan Inspektor turut ditukar keluar daripada Selangor kerana tindakan menyalahguna premis kerajaan," katanya kepada pemberita dalam sidang media di IPK Selangor di sini, hari ini.
Hussein menjelaskan tindakan dilakukan mengikut Peraturan 3C Pegawai Awam (Tata Kelakuan dan Disiplin) 1993.
"Semua dipindahkan ke Johor dan Kelantan serta-merta," katanya.
Dalam pada itu, Hussein menegaskan tangkapan tiga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang tidak membabitkan ketua balai sebaliknya ketiga-tiga individu adalah anggota berpangkat rendah.
"Ketiga-tiga anggota ini juga ditukar ke bahagian pengurusan serta-merta dan akan diambil tuduhan di bawah jenayah dan tatatertib," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan