"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki dibelasah ramai-ramai angkara berebut tempat duduk

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
Tangkap layar video tular memaparkan sekumpulan lelaki bertindak seperti samseng memukul seorang lelaki lain berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. FOTO TULAR
Tangkap layar video tular memaparkan sekumpulan lelaki bertindak seperti samseng memukul seorang lelaki lain berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. FOTO TULAR
Kulai : Tujuh tujuh lelaki ditahan susulan insiden pukul seorang lelaki di tepi jalan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, suspek berusia 25 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan sekitar Skudai dan Johor Bahru, kira-kira 8 malam hingga 12.30 tengah malam tadi.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati punca berlakunya kejadian itu adalah kerana perselisihan faham yang bermula hanya disebabkan perebutan tempat duduk di ruang pelepasan di Lapangan Terbang Miri, Sarawak.

"Kita berjaya membuat tangkapan selepas mengesan video dimuat di Facebook jam 9.15 malam tadi yang memaparkan sekumpulan lelaki bertindak seperti samseng di tepi jalan dengan memukul seorang lelaki lain.

"Kita juga menerima laporan polis dibuat mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun selepas kejadian itu berlaku. Mangsa turut mengalami cedera ringan, luka calar dan bengkak.

"Hasil siasatan yang dijalankan, kejadian berlaku di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran LTAS kira-kira jam 1.30 petang semalam.

"Mangsa dan suspek yang saling tidak mengenali mula berselisih faham kerana tegur-menegur di antara satu sama lain ketika di Lapangan Terbang Miri," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, ketika tangkapan suspek-suspek warga tempatan itu, polis turut merampas dua kenderaan iaitu Honda Accord dan Mazda 6 beserta alat kawalan jauh, empat telefon bimbit dan dua batang kayu rotan.

Katanya, hasil semakan rekod mendapati empat daripada suspek mempunyai pelbagai rekod lampau jenayah dan dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan seorang lagi suspek berusia 40-an masih lagi bebas.

"Semua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat ini," jelasnya.

Terdahulu, tular video berdurasi 17 saat memaparkan lapan lelaki sedang memukul seorang lelaki lain menggunakan batang dipercayai kayu di tepi jalan.

Turut kelihatan, mereka menendang mangsa yang berbaju dan berseluar pendek warna hitam itu berkali-kali.

Kejadian yang dirakam pengguna jalan raya itu dipercayai memperlahankan trafik memandangkan beberapa kereta dipercayai dinaiki suspek berhenti di atas jalan.

Tiada ulasan: