Tajuddin: Saya tegur PAS sebagai orang Islam, bukan ahli akademik
Malaysiakini
Ahli akademik Tajuddin Mohd Rasdi menjelaskan bahawa dia menegur PAS sebagai orang Islam yang bertanggungjawab dan bukannya sebagai ahli akademik.
“Saya bercakap sebagai orang Islam yang menjunjung tinggi tradisi dan nilai Nabi Muhammad SAW,” katanya kepada Malaysiakini.
“Sebagai orang Islam, saya bertanggungjawab untuk mengingatkan umat Islam yang bercita-cita menjadi pemimpin dalam tradisi mereka yang mengingatkan Khalifah Umar Al Khattab di masjid tentang jubah panjangnya,” katanya.
Profesor seni bina itu mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang mengingatkannya supaya fokus kepada bidang pengkhususan ilmiahnya, bukan menyimpang ke bidang lain yang menuntut kepakaran berbeza kerana ia jelas menampakkan kedangkalan pandangannya.
Ini susulan ulasan Tajuddin yang menyifatkan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Salleh sebagai "anak kucing" walaupun liar berbanding dengan PAS yang ibarat seekor "harimau" yang mampu merobek negara ini dengan jenama Islam politiknya jika tidak dibendung.
Tajuddin berkata dia juga mematuhi tradisi Khalifah Abu Bakar, yang memaklumkan orang ramai agar tidak mengikutinya jika dia menyimpang daripada al-Quran dan sunnah.
“Allah saksi saya, sebagai orang Islam, saya hanya mengingatkan pemimpin Islam untuk melayan semua orang dengan maruah, adil dan terhormat,” katanya.
Tajuddin, yang berkata bidasan daripada Takiyuddin itu tidak mengejutkan, menambah walaupun dirinya menghormati pandangan pemimpin PAS itu, namun dia tidak bersetuju dengannya.
“Dia mendakwa saya cuba mengalihkan perhatian daripada masalah dalam Pakatan Harapan kerana perselisihan faham antara (Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad) Akmal (Saleh) dan (naib pengerusi DAP Teresa (Kok).
“Itu jauh dari betul. Isu yang saya bangkitkan adalah relevan dan mencerminkan jika PAS layak memerintah, apatah lagi di negara berbilang kaum dan agama.
“Bagi saya, menghamburkan kata-kata yang menghina dan memperlekehkan mencerminkan jiwa seseorang,” katanya.
Mengenai contoh ahli parlimen Perikatan Nasional membaca doa Qunut Nazilah di Parlimen selepas seorang ahli parlimen gabungan itu digantung, Tajuddin menegaskan bahawa ia bukanlah episod yang tidak penting.
“Saya ulang sekali lagi. Ia sangat serius,” tambahnya.
Susulan insiden pada Julai lalu itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Qunut Nazilah tidak sepatutnya dibacakan untuk mendoakan kehancuran seteru politik sesama masyarakat Islam.
Menegaskan bahawa mentadbir dianggap sebagai tanggungjawab yang berat dalam Islam, Tajuddin memetik contoh lain yang membabitkan Khalifah Umar Al Khattab untuk menekankan perkara itu.
“Khalifah itu mengambil keputusan untuk memikul seguni gandum ke rumah seorang wanita miskin kerana dia berasa bertanggungjawab terhadap pengabaian terhadap keluarga wanita itu.
"Jika PAS dan Takiyuddin mahu memerintah Malaysia, mereka harus melihat kepada tradisi Islam mereka sendiri untuk menghormati maruah semua manusia," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan