"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti Perlis: Kes GISBH, 'Ini bukan saja soal sesat, tetapi soal bodoh'

Mahani Ishak
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perilaku jijik kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) yang melakukan jenayah seks dan kezaliman terhadap kanak-kanak bukan disebabkan kepercayaan, tetapi berpunca daripada kepatuhan mutlak terhadap pemimpin.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, perbuatan liwat itu mungkin disedari sebagai salah laku ahli kumpulan itu tetapi dibiarkan tanpa bantahan kerana mereka berpegang kepada larangan pemimpin terhadap semua perkara.

"Walaupun pendedahan daripada bekas ahli mengenai kezaliman ke atas diri mereka, ahli keluarga apabila diberitahu kepada ibu, ibunya berkata 'jangan, pemimpin kata jangan bising (lapor) dan perkara ini berlaku dalam ajaran atau kepatuhan mutlak terhadap pemimpin.

"Kalau pemimpin tak kata salah, walaupun kita rasa salah tak boleh menilainya sebagai satu perkara yang salah," katanya dalam audio siar Keluar Sekejap yang dimuat naik malam tadi.

Mohd Asri turut menjelaskan kepercayaan akidah adalah perkara yang tersembunyi dalam diri dan hanya diketahui apabila ia dizahirkan kepada umum.

Tetapi dalam kes GISBH ini, beliau berkata, ia diterjemahkan dalam tindakan tetapi imej perniagaan ditonjolkan lebih daripada identiti sebenar membuatkan orang membiarkan saja mereka membentuk komuniti.

"Kultus GISBH itu satu pendewaan ataupun ketaksuban. Pendewaan ini yang menyebabkan kita hanya membiarkan walaupun sesuatu perkara itu salah.

"Itu boleh berlaku kepada semua, tapi kalau dikaitkan dengan agama akan menyebabkan kita anggap pendirian kita membenarkan dia dan menerima apa saja yang buat tanpa mempersalahkan dia itu adalah suruhan agama jika tak kultus berlaku dalam semua hal termasuk politik," katanya.

Beliau berkata, kepercayaan kultus seperti dalam soal minum 'air berkat' daripada air janggut, air basuhan kaki dan air basuhan tisu kerana ia kepercayaan terhadap guru yang dipercayai ada keberkatan pada tubuhnya.

"Perkara ini sudah tentu menjadi syirik, khurafat yang dahsyat. Kadang kala diwarisi daripada banyak suasana dan unsur ini ada dalam masyarakat Melayu.

"Tetapi apabila ia diambil secara berlebih-lebihan seperti dengan meminum air ini mendapat berkat, mendapat tongkat daripada Abuya (pengasas Al-Arqam, Asaari Muhammad) boleh menghancurkan kuasa besar lain, ini bukan saja soal sesat, tetapi soal bodoh.

"Kepercayaan kultus ini apabila percaya tubuh guru ada keberkatan, itu sudah jadi syirik dan khurafat," katanya.

Sementara itu, Mohd Asri juga menegaskan GISBH bukan hanya gabungan perniagaan Muslim tetapi ia jelas menyimpang daripada sistem ekonomi Islam.

"Kultus datang dalam bentuk orang itu memperkenalkan dirinya dengan baju, kopiah, tasbihnya kita tak tengok pada pembawaannya, tetapi kultus memang begitu.

"Misalnya dalam GISBH orang berniaga itu pakai kopiah, pakai tudung, ada ayat al-Quran di kedai dia jadi kita label perniagaan Islam, ekonomi Islam. Apa ekonomi Islamnya jika awak memperhambakan orang, bekerja tanpa gaji, buruh kanak-kanak, soal kebersihan (air berkat) di mana?" soalnya.

Katanya, kebanyakan orang Islam tidak dapat membezakan antara menghormati dan fanatik dan wujud golongan yang menjadikan agama sebagai candu.

"Agama diguna sebagai candu sedangkan tujuan agama membangun manusia, membawa manusia kepada Tuhan dan mengagungkan Tuhan dan membenarkan Rasulnya.

"Tapi apabila agama sudah tidak bertujuan itu, lebih kepada membesarkan orang sehingga percaya benda tak munasabah," katanya.

Tiada ulasan: