"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Samseng jalanan dicekup gilis kaki jurulatih kapal

MOHD YUNUS YAKKUB
Tangkap layar kejadian di Jalan Persiaran Kayangan, di sini baru-baru ini.
SHAH ALAM – Berang dihalang semasa memasuki susur jalan membuatkan seorang penjual komponen kenderaan bertindak luar batas sehingga menggilis kaki seorang jurulatih kapal laut di Jalan Persiaran Kayangan, di sini baru-baru ini.

Aksi samseng suspek berusia 26 tahun membawa padah apabila ditahan kira-kira pukul 5. 30 petang di Meru, Klang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati kes buli jalanan berlaku kira-kira pukul 9.45 malam pada Ahad lalu ketika mangsa bersama isteri dan anak perempuannya dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki kereta jenis Volkswagen.

Katanya, sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu suspek yang dipandu secara melulu terus menghimpit kereta dipandu mangsa berusia 46 tahun.

“Suspek kemudiannya memberhentikan kenderaannya di belakang kereta mangsa sebelum mengetuk cermin tingkap sebelah pemandu.

“Suspek juga cuba menarik anak kunci kereta semasa mangsa membuka pintu, namun tidak berjaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, insiden itu kemudiannya berlarutan dengan pertengkaran mulut selepas mangsa keluar daripada kenderaannya.

Tambahnya, suspek kemudiannya masuk semula ke keretanya dan cuba melanggar mangsa dengan kali pertama berjaya dielak jurulatih tersebut.

“Bagaimanapun, kali kedua mangsa telah dilanggar sehingga terjatuh menyebabkan kaki kanan mangsa digilis dengan tayar kereta suspek yang kemudiannya memecut laju melarikan diri.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami retak kecil di kaki kanan dan telah menerima rawatan di Hospital Shah Alam,” ujarnya.

Kata Mohd. Iqbal , siasatan mendapati motif kejadian tersebut disebabkan suspek tidak berpuas hati keretanya dihalang oleh kenderaan mangsa semasa hendak memasuki susur kiri dari arah Bulatan Kayangan Seksyen 10 menghala ke Seksyen 7 di sini.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau, namun positif dadah jenis Benzo.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini dan kes disiasat Seksyen 307/279 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: