Elill Easwaran
Dua pemimpin itu mahu mencapai kuasa membuat keputusan lebih kukuh dalam parti dengan meletakkan orang kanan mereka di kedudukan penting.
Hamzah Zainudin menang tanpa bertanding jawatan timbalan presiden, manakala Azmin Ali dijangka menjadi setiausaha agung.
PETALING JAYA: Pemilihan Bersatu bulan depan dijangka menjadi perang proksi antara Hamzah Zainudin dan Azmin Ali, dengan kedua-duanya bersaing untuk mengembangkan pengaruh mereka dalam parti.
Sumber dalaman Bersatu mendedahkan kedua-dua pemimpin itu, yang berasal dari Umno dan PKR, menyasarkan untuk meletakkan proksi atau orang kanan mereka memegang jawatan penting, termasuk Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan sayap parti itu.
Saingan paling sengit antara kedua-dua puak itu dilihat dalam perebutan MPT, dengan 80 calon bersaing untuk 20 kerusi.
“Bagi sayap Pemuda, 45 calon bersaing untuk 15 kerusi. Kuasa ketiga muncul, tetapi tidak mungkin mempunyai kesan besar.
“Wanita Bersatu pada mulanya pertandingan antara Rina Harun dan Mas Ermieyati Samsudin dari kem Hamzah.
Tetapi, Rina tarik balik pencalonannya dan kini tiada seorang pun dari kem Azmin bertanding jawatan tertinggi dalam sayap Wanita.
Sumber itu percaya kem Azmin sebaliknya mengalihkan tumpuannya untuk mendapatkan pengaruh dalam sayap Pemuda.
Kem Azmin meletakkan Adun Gombak Setia, Hilman Idham (bertanding jawatan ketua Pemuda Bersatu), manakala calon dari kem Hamzah ialah Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu, Akmal Zahin Zainal Zahir.
Katanya, keputusan pemilihan parti akan menentukan siapa mengawal kuasa membuat keputusan dalam Bersatu, khasnya dalam MPT.
Jumaat lalu, Muhyiddin Yassin sah mempertahankan jawatan presiden Bersatu tanpa bertanding dalam pemilihan parti bulan depan.
Hamzah yang kini setiausaha agung tidak berdepan sebarang saingan untuk jawatan timbalan presiden. Beliau akan menggantikan Ahmad Faizal Azumu, yang bertanding merebut tiga jawatan naib presiden.
Faizal berdepan saingan daripada penyandang Radzi Jidin dan Ronald Kiandee, serta Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, Adun Kuang Rafiq Abdullah serta Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin.
Azmin tidak bertanding dalam pemilihan kali ini, tetapi spekulasi bertiup kencang beliau akan mengambil alih tugas Hamzah sebagai setiausaha agung baharu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan