"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar, tiga menteri diheret ke mahkamah

Hidir Reduan Abdul Rashid

Dua rakyat negara ini telah mengheret Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan tiga menteri Kabinet ke mahkamah berhubung keputusan kerajaan menghapuskan subsidi diesel di Semenanjung Malaysia.

Tindakan sivil Azhani Marlan @ Abd Halim dan Mohd Hatta Sanuri menyasarkan bukan sahaja Anwar, tetapi juga Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, dan kerajaan persekutuan.

Permohonan kebenaran semakan kehakiman menyasarkan keputusan Kabinet pada 9 Jun untuk menghapuskan subsidi diesel di seluruh Semenanjung Malaysia. Sabah dan Sarawak tidak terjejas.

Pada hari berikutnya, harga diesel diapungkan dan mengikut kadar semasa pasaran pada RM3.35 seliter. Harga semasa bagi diesel di pam ialah RM2.15 seliter, RM1.20 kurang daripada kadar pasaran.

Bagaimanapun, menurut dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini, Azhani dan Hatta mendakwa pengguna jalan raya kini dibebani dengan caj tersembunyi sebanyak 40 sen seliter diesel yang dibayar kepada kerajaan.

Mereka mendakwa bahawa ini disebabkan oleh cara Mekanisme Harga Automatik (APM) dilaksanakan.

Mereka mendakwa berdasarkan pengiraan mereka, bahawa pengguna jalan raya di Semenanjung akhirnya membayar lebih untuk diesel, dan menuntut kerajaan memulangkan lebihan bayaran itu.

Kedua-dua mereka mendakwa dasar 'tidak logik, tidak rasional, tidak adil serta berat sebelah' mencetuskan kesan domino kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang akhirnya membebankan rakyat di Semenanjung Malaysia.

Azhani dan Hatta turut mempersoalkan janji Amir Hamzah bahawa harga barangan dan perkhidmatan tidak akan naik hasil daripada perubahan dasar itu, sambil menunjukkan bahawa kesejahteraan ekonomi rakyat telah terjejas sejak pemansuhan subsidi.

Mereka turut memetik beberapa laporan berita seperti kenaikan 25 peratus dalam harga bahan binaan dan perkhidmatan lori, serta kenaikan harga barangan keperluan oleh industri restoran.

Kedua-dua mereka mendakwa keputusan kerajaan itu menyebabkan hak sama rata penduduk Semenanjung Malaysia dilanggar dan mereka berakhir sebagai 'warga kelas kedua' berbanding mereka di Sabah dan Sarawak.

Mereka berhujah bahawa justifikasi kerajaan bahawa langkah dasar itu adalah untuk membendung penyeludupan adalah tidak masuk akal kerana ia membayangkan aktiviti seperti itu hanya berlaku di Semenanjung Malaysia berbanding di Sabah dan Sarawak.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam pemohon Mohaji Selamat mendakwa kerajaan tidak menjawab surat mereka bertarikh 30 Ogos untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu tersebut.

Berhubung permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan semula pada 7 Sept, peguam itu berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 29 Okt untuk mendengar kes berkenaan.

Dia menambah bahawa kertas kausa telah diserahkan kepada wakil sah responden daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sekiranya mahkamah sivil memberikan kebenaran, ia kemudiannya akan menetapkan tarikh berasingan untuk mendengar hujahan semua pihak mengenai merit tindakan itu.

Hatta sebelum ini menjadi tumpuan dalam dua tindakan undang-undang terhadap keputusan kerajaan, iaitu berhubung isu kedaulatan Batu Puteh dan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) bernilai RM110 bilion antara Malaysia dan Singapura.

Kedua-dua kes itu ditolak oleh mahkamah sivil.

Tiada ulasan: