"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pegawai Imigresen didakwa rasuah, permudah kemasukan warga Indonesia

Bernama

Mohd Edisahril Mohd Noor, 41, didakwa menerima rasuah itu bagi membolehkan penumpang warga Indonesia masuk ke Malaysia tanpa perlu mematuhi Akta Imigresen.

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM55,150 antara November tahun lepas hingga Februari tahun ini.

Mohd Edisahril Mohd Noor, 41, didakwa secara rasuah menerima suapan antara RM3,000 hingga RM10,000 daripada seorang lelaki, dengan semua wang tersebut dimasukkan ke akaun syarikat milik isterinya di sebuah bank cawangan Bandar Baru Uda di sini antara 4 Nov 2023 hingga 23 Feb 2024.

Semua suapan berjumlah RM55,150 itu didakwa sebagai upah kepada tertuduh bagi memudahkan kemasukan penumpang warga Indonesia ke Malaysia tanpa perlu mematuhi syarat ditetapkan Akta Imigresen 1959.

Pendakwaan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Edisahril yang merupakan pegawai Imigresen Gred KP22 di Pejabat Imigresen Bangunan Sultan Iskandar (BSI), turut mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan pilihan iaitu bersetuju menerima semua wang suapan berkenaan di lokasi dan tarikh yang sama, dengan tertuduh tahu tindakan itu ada hubungan dengan tugas rasminya sebagai pegawai Imigresen.

Bagi kesalahan tersebut pegawai imigresen yang sudah berkhidmat selama 18 tahun itu, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan melaporkan diri ke pejabat SPRM Johor sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 10 Nov untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan mewakili tertuduh.

Tiada ulasan: