"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu e-hailing ditumbuk warga asing setelah menegur penumpang muntah dalam kereta

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Seorang pemandu e-hailing ditumbuk dua penumpang warga asing kerana menegur tindakan penumpang itu muntah di dalam kereta miliknya di hadapan kondominium, Kampung Cheras Baru, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, mangsa berusia 50 tahun itu mengambil penumpang iaitu seorang lelaki dan seorang wanita di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

"Pengadu kemudian menghantar mereka ke sebuah kondominium dan ketika dalam perjalanan penumpang lelaki itu termuntah di dalam kereta dan mangsa menegurnya.

"Setiba di kondominium berkenaan, kedua-dua penumpang itu didakwa menolak pengadu sehingga terjatuh dan menumbuk di mulutnya sehingga menyebabkan luka, lebam di siku tangan kiri dan tapak tangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, penumpang berkenaan juga disyaki merosakkan cermin sisi sebelah kiri dan menendang pintu kanan belakang kereta jenis Honda City yang dipandu mangsa.

"Susulan daripada laporan yang diterima, polis memberkas lelaki dan wanita berusia 30 dan 40 tahun itu di kondominium berkenaan, pada jam 11 pagi Isnin lalu.

"Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan didapati negatif dadah, kedua-dua individu itu ditahan reman empat hari bermula Selasa hingga Jumaat ini membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama," katanya.

Tiada ulasan: