Mohsin Abdullah
Ia sebenarnya isu alam sekitar, kesihatan dan keselesaan rakyat namun sudah dijadikan isu perkauman.
Kepada saya berkata seorang pemerhati politik, kenalan lama yang tinggal di Selangor: “Isu babi bakal runtuhkan Pakatan Harapan di Selangor pada pilihan raya negeri.”
Isu dimaksudkan kita semua tahu iaitu penternakan babi yang sememangnya menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu. Sebenarnya, rasa ‘tidak puas hati’ ialah istilah lembut untuk menggambarkan perasaan orang Melayu.
“Ketidakpuasan hati ini memudahkan Perikatan Nasional untuk menarik sokongan pengundi Melayu atas dasar mempertahankan maruah dan kesucian agama,” kata si pemerhati politik tadi. Saya setuju. Golongan tertentu khususnya mereka yang terpaling itu dan terpaling ini akan atau sudah mengeksploitasi isu ini. Jika guna istilah badminton ini bagai bola tanggung yang mengundang pukulan ‘smash’. Lalu golongnan terpaling pun ‘smashlah’.
Kata pemerhati politik itu lagi: “PH (akan dituduh) lebih mengutamakan ekonomi atau pihak tertentu berbanding kualiti hidup penduduk setempat.”
Tidak perlu saya huraikan siapa ‘pihak tertentu’ dimaksudkan. Isu ini memang ada elemen perkauman. Ini tidak dapat dinafikan.
Orang Melayu memang pantang ‘datuk nenek aku’ dengan babi, penternak babi orang Cina. Yang makan daging babi orang Cina. Begitu juga orang bukan Islam lain.
Exco kerajaan Selangor Izham Hashim menggesa jangan jadikan ternakan babi isu perkauman.
Namun, bak kata pemerhati politik tadi: “Isu babi sering menjadi peluru politik yang efektif dalam kempen pilihan raya di kawasan luar bandar dan separa bandar.” Memang betul.
Menurut data 2025 populasi Selangor dianggarkan sekitar 6.99 juta merangkumi demografi Bumiputera (majoriti Melayu) 60.6%, Cina 27.3% dan India 11.3%.
Yang main isu politik mencemuh Izham kerana beliau ahli Amanah, parti Islamis yang berkonsep ‘Rahmatan lil alamin’. Reaksi golongan yang mempertahankan beliau pula menegaskan semasa PAS berada dalam kerajaan Selangor bersama Pakatan Rakyat (PR) portfolio infrastruktur dan pertanian yang Izham sandang sekarang dijawat orang PAS.
Sesungguhnya, masalah ladang ternak babi di Selangor sudah lama berlarutan. Sejak kerajaan pimpinan Umno/BN, pentadbiran PR dan PH. Terlalu lama. Tidak boleh dinafikan ladang babi menimbulkan isu pencemaran sungai, masalah lalat, bau busuk, jejas kesihatan dan rata-rata menyusukan penduduk setempat.
Kerajaan Selangor yang ada sekarang mahu ‘settle the problem once and for all’. Lantas mahu buka ladang ternakan babi berpusat. Di Bukit Tagar, Hulu Selangor bagi menempatkan 112 ladang yang kini beroperasi di Tanjung Sepat, Kuala Langat dan tiga di Sungai Belankan, Sepang. Ertinya, kata Menteri Besar Amirudin Shari ‘daripada beratus dijadikan satu’. Dan kata beliau lagi ‘realitinya kita hendak tutup lebih seratus ladang ternakan babi’.
Isu ini sebenarnya isu alam sekitar, kesihatan dan keselesaan rakyat. Namun, seperti dikata tadi ia boleh atau sudah dijadikan isu perkauman. Lantas kerajaan pimpinan Amirudin mesti mengimbangi sensitiviti orang Melayu dengan kepentingan penternak Cina dan keperluan orang bukan Melayu.
Menurut Malaysiakini ada perhimpunan aman oleh lebih 200 penternak babi dan pihak berkepentingan yang menggesa kerajaan melonggarkan beberapa syarat yang mereka dakwa terlalu ketat.
Tidak perlu saya nyatakan parti mana yang disokong rata-rata masyarakat bukan Melayu di Selangor. Terutama orang Cina. Tolak tepi aspek politik hakikatnya mesti ada kesaksamaan dan keadilan untuk semua. Itu kata kuncinya. Buat Melayu dan bukan Melayu.
Bagi saya yang tidak mahu dilihat berlaku ialah memindahkan masalah Tanjung Sepat dan Sungai Belankan ke Bukit Tagar. Perlu diingat Bukit Tagar telah dijadikan tapak pelupusan sampah seluas 800 hektar sejak 2005.
Yang tidak mahu dilihat ialah masalah baru di Bukit Tagar dengan adanya satu ladang ternakan babi besar di kawasan itu. Kata Izham ‘Bukit Tagar ini kawasan pengumpulan sampah. Jangan kata orang Melayu, makhluk lain pun tak sanggup tinggal di kawasan tersebut’.
Mungkin lawak mungkin sinis. Jelas beliau merujuk golongan yang tuduh orang Melayu akan susah jika ladang babi pusat didirikan di Bukit Tagar.
Menurut Izham, pusat ternakan babi yang akan dibina ialah moden, berteknologi tinggi dan mesra alam. Bagus. Oleh itu pastikan ini yang akan didirikan. Pada masa lalu kita tahu banyak rombongan pemimpin dan pegawai kerajaan telah melakukan ‘lawatan sambil belajar’ ke negara maju khususnya Eropah untuk meninjau bagaimana ladang babi teknologi tinggi dan mesra alam beroperasi. Tetapi selesai lawatan masalah yang dihadapi masih tidak selesai. Ladang babi masih beroperasi cara lama.
Yang mahu dilihat wujud ialah situasi yang tidak memudaratkan. Dalam memastikan semuanya okey, di ladang ternakan babi tengoklah juga kawasan pembuangan sampah. Jadikan Bukit Tagar kawasan tidak mudarat meskipun ada ladang babi dan kawasan buang sampah. Tapi bukanlah sehingga makhluk lain selain manusia boleh datang tinggal di situ.
Diberitakan kos pembinaan ladang ternakan babi pusat tidak akan gunakan dana kerajaan negeri. Izham mengesahkan projek Bukit Tagar inisiatif swasta dengan kerajaan negeri memudahkan kelulusan yang diperlukan.
Saya yakin penternak dan rakan mereka mampu menampung perbelanjaan. Cuma pastinya mereka mahu mendapat pulangan. Ertinya ‘to recoup big investment for modern hygienic farming’. Ini mungkin menimbulkan masalah jika penternak boleh jual hasil mereka di negeri Selangor sahaja dan tidak boleh eksport.
Masalah ladang ternakan babi telah mendapat perhatian Sultan Selangor sendiri. Keadaan kotor dan bau busuk di ladang di Tanjung Sepat mendorong baginda mengusulkan wakil rakyat tinggal di sebelah ladang babi untuk rasa apa yang rakyat rasa.
Dalam satu kenyataan Istana Selangor tempoh hari, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah baginda pandang serius keputusan kerajaan membenarkan operasi ternak babi di Tanjung Sepat sebelum dipindahkan ke kawasan Bukit Tagar pada 2030.
Memang baginda mahu operasi di Tanjung Sepat dihentikan. Tetapi, ini jangan disalah tafsir. Baginda mahu operasi sedia ada dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar.
Inilah yang kerajaan negeri mesti lakukan. Laksanakan titah sultan. Lantas ia tidak perlu bimbang isu dieksploitasi musuh politik dan golongan terpaling Melayu mahupun terpaling Cina.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan