Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my

Dua pekerja maut selepas tersepit di bawah lori yang mereka baiki berdekatan kuari di Bukit Mambong, Padawan, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Kuching : Dua lelaki maut selepas tersepit di bawah lori membawa muatan batu dalam kejadian di kawasan jalan kuari Bukit Mambong, Siburan, di Padawan, hari ini.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, kedua-dua mangsa dipercayai sedang melakukan kerja membaiki sistem brek lori berkenaan sebelum kenderaan berat itu menghempap mereka.
Kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Laga Tegong, 46 dan Sady Joe Liam, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh anggota paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat kecederaan parah.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.02 petang.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan segera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai.
"Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 2.28 petang dan mendapati kedua-dua mangsa tersepit di bawah lori 10 tan ketika kerja membaiki brek sedang dijalankan.
"Komander operasi memaklumkan kerja menyelamat membabitkan penggunaan dua buah jentera jengkaut milik syarikat kuari bagi mengangkat bahagian sisi lori berkenaan," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa pertama berjaya dikeluarkan dari bawah lori pada jam 4.55 petang manakala mangsa kedua pula dikeluarkan sembilan minit kemudian, iaitu pada jam 5.04 petang.
"Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan