"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aksi wheelie bersama kekasih tular, enam individu ditahan polis

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
VIDEO rakaman aksi ‘wheelie’ yang tular di media sosial sejak Ahad lalu.
VIDEO rakaman aksi ‘wheelie’ yang tular di media sosial sejak Ahad lalu.
Kuala Lumpur: Padah melakukan aksi 'wheelie' di jalan utama di ibu kota, enam individu termasuk tiga gadis bawah umur ditahan polis selepas video rakaman aksi berbahaya mereka itu tular di media sosial sejak kelmarin.

Tangkapan dibuat susulan risikan intensif oleh Unit Risikan dan Operasi (RO) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur selepas mengesan satu klip video berdurasi 44 saat yang memaparkan tindakan melulu kumpulan remaja berkenaan.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berkenaan dikesan berlaku pada 23 Mei lalu sekitar jam 3.30 pagi di Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak dan Jalan P Ramlee.

"Tangkapan pertama dibuat jam 3.20 pagi semalam membabitkan lelaki berusia 20 tahun yang menunggang motosikal Yamaha 135LC bersama pembonceng perempuan berusia 16 tahun. Kedua-duanya adalah pasangan kekasih.

"Susulan penahanan itu, JSPT melakukan tangkapan kedua pada jam 12.54 tengah malam tadi membabitkan dua lagi penunggang motosikal lelaki masing-masing berusia 17 tahun dan 16 tahun, bersama dua pembonceng perempuan berusia 18 tahun dan 15 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, siasatan awal mendapati hubungan antara penunggang dan pembonceng bagi tangkapan kedua adalah sebagai rakan.

"Polis turut menyita motosikal jenis Yamaha 135LC dan Yamaha 135LC (FI) yang digunakan suspek semasa kejadian.

"Semua suspek sudah dirakam percakapan dan tindakan lanjut sedang dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya," katanya.

Terdahulu, satu video tular yang dimuat naik di Facebook pada kelmarin menerima kecaman netizen selepas memaparkan aksi sekumpulan remaja menunggang secara berbahaya dengan mengangkat tayar hadapan (wheelie) sambil membawa pembonceng tanpa memikirkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Tiada ulasan: