HARRITH HISHAM
AMPANG JAYA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 13 sebuah bangunan di Taman Cahaya Ampang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang wanita warga tempatan kira-kira pukul 7.45 malam.
“Siasatan awal mendapati mangsa telah jatuh dari tingkat 13 dan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada pukul 7.42 malam oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairul Anuar berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai berada seorang diri semasa kejadian.
Menurutnya, bedah siasat ke atas mangsa dijalankan di Hospital Ampang pada pukul 9 pagi hari ini bagi mengenal pasti punca kematian.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan