Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my

MOTOSIKAL yang dinaiki kanak-kanak tersebut bersama ibu bapanya. FOTO Ihsan Polis
Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas motosikal dinaiki bersama ibu bapanya terbabit kemalangan dengan dua kenderaan di Jalan Cheras menghala ke Jalan Loke Yew, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pada 8.18 pagi itu, mangsa berusia lapan tahun parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan membabitkan motosikal SYM Husky 150 SE dinaiki mangsa dengan kereta Honda CRV dan motosikal Yamaha Y15ZR.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berusia 35 tahun menunggang motosikal bersama isteri berusia 35 tahun dan anak perempuan mereka dipercayai mencelah antara lorong kiri dan kanan ketika keadaan trafik sesak.
"Motosikal mangsa hilang kawalan dan melanggar belakang kereta Honda CRV di lorong kanan jalan sebelum motosikal Yamaha Y15ZR yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal itu sebelum terjatuh di atas jalan.
"Akibat kemalangan itu, kanak-kanak perempuan itu parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Penunggang motosikal cedera di pinggang serta kedua-dua kaki manakala pembonceng wanita cedera pada tangan kanan dan sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, pemandu Honda CRV iaitu lelaki berusia 59 tahun tidak cedera, manakala penunggang Yamaha Y15ZR lelaki berusia 47 tahun pula luka pada lutut kiri.
Mohd Zamzuri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan