"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

300 individu termasuk pemimpin ajaran sesat ditahan di dewan sekolah

HARRITH HISHAM
Antara individu yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan di sebuah dewan sekolah di Likas, Kota Kinabalu. Foto IHSAN PDRM
PETALING JAYA – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 300 individu termasuk 12 pemimpin dan penganjur utama kumpulan Jemaah Ahmadiyah Qadiani dalam operasi penguatkuasaan di sebuah dewan sekolah menengah di Likas, Kota Kinabalu hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, operasi dijalankan susulan aduan berhubung penganjuran Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 yang berlangsung dari 29 hingga 31 Mei 2026.

“Hasil semakan mendapati program itu dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah serta diwartakan sejak tahun 2007.

“Program tersebut turut dihadiri kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia serta ahli-ahli dari beberapa daerah di Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, seramai 300 individu telah ditahan bagi membantu siasatan yang terdiri daripada 12 pemimpin dan penganjur utama serta 288 ahli jemaah.

“Turut dirampas 24 helai ‘bunting’ (gegantung) yang memaparkan pengasas dan pemimpin tertinggi Jemaah Ahmadiyah Qadiani selain kira-kira 200 buah buku dan bahan bacaan berkaitan ajaran tersebut,” ujarnya.

Katanya, pihak berkuasa turut merampas dokumen program, senarai kehadiran, bahan penerbitan serta pelbagai dokumen lain yang mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan terbabit.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.

“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut oleh pihak JHEAINS sebelum dibebaskan dengan jaminan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: