FMT Reporters
Alwiyah Talib yang juga ketua Bersatu Mersing berkata, keputusan itu dibuat atas kehendak sendiri, tanpa pengaruh mana-mana pihak.

Alwiyah Talib pertama kali menang kerusi DUN Endau pada PRU14 bersama Umno, sebelum meninggalkan parti itu pada Mei 2018 dan menyertai Bersatu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Ketua Bersatu Mersing Alwiyah Talib, yang juga Adun Endau, mengumumkan keluar parti dan kembali menyertai Umno.
Beliau berkata, keputusan itu, yang turut melibatkan peletakan semua jawatannya dalam parti, dibuat atas kehendak sendiri tanpa pengaruh mana-mana pihak.
Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai aspek yang disifatkan penting demi kebaikan serta masa depan kawasan DUN diwakilinya, tambahnya.
“Setelah mengambil kira beberapa aspek, demi kebaikan dan masa depan DUN Endau, saya telah membuat keputusan untuk mengumumkan keluar daripada Bersatu dan meletakkan segala jawatan saya dalam parti berkuat kuasa serta-merta serta kembali bersama Umno,” katanya dalam sidang akhbar di Mersing hari ini.
Sekalipun meninggalkan Bersatu, pendiriannya untuk terus berkhidmat kepada pengundi DUN Endau tidak akan berubah, tegasnya.
“Saya percaya tindakan ini dibuat antara lain demi kelangsungan dan masa depan yang lebih baik selain terus memperkukuh aspek penyatuan bagi DUN Endau,” katanya, lapor Sinar Harian.
Dalam pada itu, Alwiyah turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi dan semua pihak yang telah memberikan sokongan serta kerjasama sepanjang tempoh khidmatnya sebagai wakil rakyat kawasan tersebut sejak 2018.
Beliau berharap hubungan baik yang terjalin selama ini dapat diteruskan demi memastikan kebajikan rakyat Endau terus terbela.
Alwiyah pertama kali memenangi kerusi DUN Endau pada PRU14 atas tiket Barisan Nasional bersama Umno
Bagaimanapun, pada Mei 2018, beliau bersama beberapa Adun Johor lain meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu.
Pada PRN 2022, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Endau di bawah tiket Perikatan Nasional (Bersatu) dalam pertandingan lima penjuru.
Alwiyah kemudian dilantik sebagai ketua Bersatu Mersing berkuat kuasa 10 Mac lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan