Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Tiga individu yang didakwa memeras ugut, mengurung, mencederakan wanita serta memaksa berbogel sebelum merakam video masing-masing dipenjara, denda dan sebatan oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Mereka ialah Mohamad Salehuddin Ali, 34, yang dipenjara tiga tahun dan tiga sebatan, Nur Syuhaidah Saharan, 34, pula dipenjara dua tahun enam bulan, manakala Aliza Khamis, 45, didenda RM2,000.
Mahkamah memutuskan kesemua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh sabitan untuk Nur Syuhaidah, manakala Mohamad Salehuddin bermula dari tarikh ditangkap.
Mohamad Salehuddin berhadapan empat pertuduhan, Nur Syuhaidah (tiga pertuduhan), manakala Aliza (satu pertuduhan) mengaku bersalah di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Nur Syuhaidah ketika ini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Kluang selepas air kencing positif dadah amphetamine dan methamphetamine buat kali ketiga.
Mengikut pertuduhan pertama, Aliza, Nur Syuhaidah dan Mohamad Salehuddin didakwa mengikut Seksyen 340 Kanun Keseksaan kerana melakukan pengurungan salah ke atas wanita berusia 33 tahun.
Seksyen 340 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 342 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, Nur Syuhaidah dan Mohamad Salehuddin pula didakwa merakam mangsa dalam keadaan bogel menggunakan telefon bimbit dan dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Manakala pertuduhan ketiga, Nur Syuhaidah dan Mohamad Salehuddin melakukan pemerasaan terhadap mangsa sama hingga memaksa menyerahkan wang tunai berjumlah RM4,200 serta telefon bimbit.
Untuk pertuduhan keempat, Mohamad Salehuddin mencederakan mangsa dengan menumbuk muka, badan, kaki, perut, dada berulang kali menggunakan tangan dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Banang Heights, di sini, antara jam 7 hingga 11 pagi, 13 Mei lalu.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga mangsa menerima panggilan daripada salah seorang tertuduh dan memintanya datang ke rumah.
Sebaik tiba di rumah, tertuduh mengunci pintu menggunakan mangga yang menyebabkan mangsa tidak dapat keluar. Tidak kemudian, tertuduh lelaki bersama dua rakan sejenayah yang masih bebas memasuki rumah terbabit.
Tertuduh kemudian memukul mangsa dengan tangan dan pada masa sama, wanita terbabit dibawa ke sebuah lagi rumah sebelum dikurung dalam bilik.
Ketika itu, mangsa diminta menanggalkan pakaian dan tertuduh mengambil telefon bimbit lalu merakamnya. Selepas kejadian itu, mangsa dilepaskan dan segera ke balai polis untuk membuat laporan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Tiada ulasan:
Catat Ulasan