"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki agresif pecahkan cermin kereta diburu

KOSMO!
SEORANG lelaki bertindak memecahkan cermin hadapan sebuah kereta di Jalan Raja Ashman Shah, Ipoh yang tular di media sosial sejak semalam.
IPOH – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang bertindak agresif dengan memecahkan cermin hadapan sebuah kereta menggunakan topi keledar di Jalan Raja Ashman Shah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.26 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa membunyikan hon terhadap sebuah motosikal yang ditunggang secara tidak stabil dan hampir memasuki laluannya.

“Susulan itu, berlaku insiden yang menyebabkan suspek bertindak memecahkan cermin hadapan kereta mangsa menggunakan topi keledar. Tindakan suspek yang belum dikenal pasti itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM1,500,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

Katanya, usaha giat dijalankan bagi mengesan dan mengenal pasti suspek yang dianggarkan berusia lingkungan 30 tahun dan dipercayai menunggang motosikal jenis Honda Dash berwarna biru.

“Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang diperoleh sedang dianalisis bagi membantu siasatan, namun nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek tidak dapat dikenal pasti dengan jelas.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini atau mengenali suspek diminta menghubungi talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di 05-2451500 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: